MAHATHIR SINDIR NAZRI: CABARLAH SAYA BERBAHAS ISU 1MDB

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap cabaran Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, supaya beliau bertanding pada pilihan raya akan datang di parlimen itu sebagai ‘cabaran kosong’.

Ujar Mahathir, apa pun beliau menghargai saranan cabaran itu, kerana padanya saranan itu menampakan Nazri seorang yang berani.

“Syabas saya ucapkan. Cabaran ini menunjuk betapa beraninya Nazri.

“Sebabnya ialah kerana Nazri tahu saya tidak berhajat untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Oleh itu cabarannya ialah cabaran kosong,” tulisnya menerusi catatan terbaharu yang dipetik menerusi blognya chedet.com yang berjudul Nazri Aziz.

Mahatir bekata demikian bagi mengulas cabaran Nazri Aziz yang meminta beliau bertanding di Padang Rengas pada pilihan raya akan datang, bagi menentangnya.

Namun katanya lagi, sekiranya Nazri hendak sangat mencabarnya, beliau sarankan akan cabaran itu terarah kepada perbahasan terbuka berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu RM2.6 billion, pinjaman RM55 billion untuk keretapi pantai timur atau apa juga tajuk.

“Ini termasuk skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF). Ini boleh diadakan tanpa syarat,” katanya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Nazri terhadap Proton, yang melabel Proton sebagai projek gajah putih, Mahathir berkata, kenyataan itu sama sekali tidak berasas.

“Semasa saya menjadi PM, Proton dapat kumpul tabung keuntungan sebanyak RM4 billion. Proton membina kilang baru di Tanjung Malim dengan kos RM1.8 billion tanpa pinjaman bank atau bantuan kerajaan.

“Di masa yang sama Proton membayar RM18 billion cukai kepada kerajaan,” katanya lagi.

Katanya, kemerosotan Proton bermula apabila kereta buatan asing dibenar masuk dengan mudah, walaupun negara-negara pengeluar kereta ini menghalang kemasukan kereta Proton ke negara mereka dengan berbagai alasan.

“Kenaikan harga kereta import bukan disebabkan Proton. Cukai kereta adalah suatu punca dana kerajaan. Sebelum ada Proton pun harga kereta import memang tinggi jika diambil kira zaman kos sara hidup yang rendah,” katanya.

Ujarnya, hari ini penjualan kereta Proton memang tidak laris. Sebabnya ialah kerana banyak kereta jenama asing boleh masuk dengan mudah.

“Memang ada kelemahan-kelemahan dalam Proton, tetapi teknologinya sesuai untuk Malaysia, Australia dan Asean. Ada bantuan teknologi syarikat Eropah dalam Proton. Yang menjadi masalah ialah aliran tunai kerana kemasukan kereta asing memakan pasaran Proton,” katanya lagI.

Katanya lagi, bagi membuktikan kereta keluaran Proton tidak menghadapi masalah, beliau sendiri membelinya dan mencubanya sendiri.

“Saya telah beli ketiga-tiga model baru Proton dan saya tidak menghadapi masalah menggunanya,” katanya.

– Sinar Harian

.