MAHATHIR SEDANG BAYAR HARGA SANGAT MAHAL PADA METERIALISME

Apapun pandangan negatif  luar dan dalam terhadap Malaysia sekarang ini tetapi saya tidak dapat hapuskan  keyakinan  saya terhadap kekuatan asas ekonomi negara yang terbina dari sejak awal kemerdekaan  sehingga ke era Tun Dr.Mahathir.

Kekuatan  ini terbina  atas kesedaran kepimpinan awal negara  tentang perlunya perimbangan ekonomi kampung dengan bandar yang bermula dengan pembinaan infrastruktur asas utama kecil-kecilan di luar bandar seperti jalan,surau, sekolah,klinik dan lain-lain yang membawa kepada revolusi ekonomi  yang radikal dan dinamik di bawah Tun Abdul Razak.

Maka itu setiap kali saya melawat  keluar  negara terutama negara- negara ASEAN  saya semakin sedar akan kekuatan ekonomi negara kita dan tidak yakin pembangunan pesat  sesebuah ibu negara sebagai gambaran  kemajuan menyeluruh yang merentasi bandar seperti di negara kita.

Di Malaysia  tidak hanya orang bandar memiliki kereta sendiri  tetapi juga orang kampung dan kampung  sesak dengan kenderaan di Hari Raya Aidilfitri yang menampakkan limpahan rezki kepada anak-anak yang berjaya menerusi pelajaran atau sosial mobility. Kemajuan negara memberikan kemampuan untuk menampung perkerjaan kepada mereka.

Ada anak yang membeli kereta untuk ibubapa mereka.

Memasuki semula negara kita, samaada menerusi udara atau jalan darat, saya dapat merasakan denyut nadinya yang lebih berkualiti dari jalan raya, lebuh raya dengan kehijauan sekitarnya  kepada kualiti  kereta persendirian mewah kecil dan besar di jalan-jalan  raya, condominium yang cantik, kawasan kediaman yang teratur mewah  dan sederhana serta deretan kedai yang berbagai.

Restoran penuh dengan pelanggan selain dari kedai runcik   yang penuh dengan barang keperluan harian.

Sepanjang lebuhraya beratus kilometer di negara kita  diindahkan oleh kehijaun pokok-pokok besar  dan rumput- rumput ditepi jalan dipotong  rapi tanpa lalang memanjang. Segar dan nyaman mata memandang.

Tiada  bandar baru  seperti Putrajaya atau Cyberjaya  di Indonesia, Thailand apatah lagi di Philipina. Tanpa  Mahathir mungkin wang Petronas telah dibazirkan kepada pembangunan yang tidak akan dapat dibanggakan sebagai  warisan bangsa. Tiada bandar yang dibangunkan oleh bangsa sendiri selain dari berbangga dengan Kuala Lumpur.

Semua ini tidak dapat dipadamkan dengan memadamkan atau menurunkan gambar Mahathir di mana-mana.

Sekalipun terdapat jenayah dan penjenayah di negara ini tetapi kita merasa terkawal kerana jarang benar penjenayah yang terlepas kecuali perasuah, penipu, pencuri dan penyamun wang negara. Bagaimanapun rasuah di kalangan pegawai kerajaan dan ahli politik bukanlah perkara baru malah sudah  sebati dengan negara ini.

Bagaimanapun di sebalik kekuatan ekonomi dan kekebalan menghadapi keruntuhan ringgit , situasi politik dan kehilangan keyakinan kepada pucuk pimpinan negara, menyebabkan saya bertanya apakah warisan kekuatan  dari pemimpin-pemimpin terdahulu yang masih dapat dirasakan ini  akan dapat dikekalkan? Apakah kemakmuran rakyat akan berpanjangan?.

Saya telah berkhidmat sebagai wartawan dari sejak umur 18 tahun di bawah lima perdana menteri tetapi secara jujur saya ingin menyatakan saya  tidak pernah merasa hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan negara seperti yang saya rasakan sekarang ini.

Kejatuhan ringgit tidak dapat dinafikan demoralise harga diri  apabila membuat pertukaran dengan wang asing terutama dengan baht yang dulu seringgit 10 bath tetapi sekarang hanya tinggal 7 baht. Bagaimanapun  ini tidak mudah menghilangkan keyakinan saya terhadap kemampuan asas ekonomi atau  fundamental ekonomi negara.

Kekuatan kita dapat diukur dari kemampuan  orang Malaysia termasuk dari kampung   melancong dan membeli belah  di negara – negara ASEAN malah ke China dan Eropah tetapi orang dari negara jiran datang untuk  berkerja di negara kita. Yang menyebabkan orang kita terasa sakit kerana barang yang dulu murah sekarang mahal kerana kejatuhan  ringgit.

Yang keluar negara ini tidak sahaja orang kaya tetapi juga rombongan dari kampung-kampung termasuk dari kawasan Felda. dalam pada itu kemampuan membeli belah dalam negara juga masih kuat walaupun harga barang meningkat.

Saya ke Bangkok baru-baru ini kerana hendak melihat apa yang dihebohkan oleh  rakan- rakan tentang kemudahan  perkhidmatan kenderaan awamnya   dengan skytrain dan lebuh raya baru dari lapangan terbangnya  ke Bangkok  tetapi saya kecewa kerana tidak lagi menemui   Bangkok yang menarik, selamat dan selesa seperti enam tujuh tahun dahulu.

Bangkok sekarang disesakkan oleh bangunan-bangunan baru ; pusat membeli belah, pasar raya dan hotel- hotel mewah yang kedudukannya tidak teratur pada sesuatu kawasan tertentu yang boleh menambah kecantikan dan  keagungan ibu negara seperti  hotel-hotel mewah di Kuala Lumpur yang terbaris  di Jalan Tun Ismail dan Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Dataran Merdeka dengan bangunan iconic warisan British seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Hotel Majectic,Stesen Keretapi dan lain -lain  dari Jalan Hishamuddin hingga  ke Jalan Raja  sukar untuk ditandingi architecturenya oleh mana-mana negara kecuali Singapura yang juga pernah berada di bawah penjajahan yang sama.

Kesesakan lalu lintas di Bangkok lebih teruk dari di Jakarta dan diwaktu kesesakan jika anda memerlukan kenderaan awam seperti teksi atau tut tut maka anda mestilah bersedia  untuk ditipu  oleh mereka .Teksi tidak mahu memakai meter dan tut tut akan  mengenakan sewaan yang dua tiga kali ganda lebih mahal dari teksi. Jika sewaan teksi 100 baht,tut tut 300 bath.

Terdapat hanya sebuah  little  Arab yang dikenali sebagai Nana street yang terdiri dari beberapa restoran, mini market, hotel kecil dan besar yang hanya dilanggani oleh orang Arab yang datang mendapatkan rawatan perubatan disebuah Pusat Perubatan  yang popular di kalangan negara-negara Arab.

Di Malaysia restoran-restoran Arab tidak hanya dikunjungi oleh orang Arab sebaliknya dihidupkan dengan kunjungan orang Melayu tempatan.Tetapi di Bangkok hanya dikunjungi oleh orang Arab,mungkin kerana  tidak ramai Islam Thai di Bangkok atau tidak sesuai dengan citarasa mereka atau mereka tidak mampu berbanding dengan orang Islam Malaysia.

Kereta-kereta di jalan raya kebanyakan kereta Jepun dan jarang dapat dilihat Mercedes, BMW, VW dan lain-lain kereta Barat yang di Malaysia tidak sahaja dipakai oleh orang kaya tetapi anak-anak muda atau orang-orang kaya baru yang menggambarkan  keupayaan rakyat. Di negara kita, di negeri-negeri pun banyak kereta mewah.

Menaiki ERL,LRT,MRT dan KTM di Malaysia  kita dapat  rasakan world class  walapun masih ketinggalan dari beberapa segi dari Barat tetapi ada yang kita sudah jauh lebih baik dari mereka umpamanya R&R kita yang selesa dan indah dibandingkan dengan UK.

Kemajuan dan pemodenan ini tidak dicapai dalam sehari tetapi dari keupayaan kepimpinan yang bertukar ganti yang masing-masing ada kekuatannya yang tersendiri dan meninggalkan jasa besar masing-masing.

Apabila orang Melayu hilang kepercayaan kepada Tunku, mereka mendapat pengganti yang memenuhi harapan mereka kepada suatu keadaan yang lebih terjamin dibawah  Tun Razak dan bila  digantikan oleh Tun Hussein Onn keadaan negara terus stabil. Bila  Dr.Mahathir   menggantikannya, beliau telah membawa keajaiban dengan  permodenan yang menjadikan Malaysia Harimau yang  bermaruah di mata dunia, dikagumi oleh negara-negara ketiga dan dicemburui oleh Barat.

Dan beliau menggemparkan dunia bila berjaya mengalahkan Soros penyangak mata wang yang berjaya melumpuhkan ekonomi negara-negara lain yang dianggap lebih maju dari Malaysia tetapi Malaysia tegak berdiri dengan megah dan gagah. Mahathir dikagumi.

Tetapi malangnya Mahathir  gagal untuk melumpuhkan penyangak-penyangak mata wang dari dalam partinya sendiri dan juga dalam negaranya sendiri.

Nasibnya sama seperti Lee Kuan Yew Perdana Menteri Singapura yang meninggalkan sebuah kerajaan yang bersih,cekap dan amanah kepada rakyatnya tetapi  anak-anak-nya sendiri telah mencemarkan namanya kerana lebih mementingkan kekayaan  dari nilai sentimen dan sejarah.

Saya telah berkhidmat  sebagai wartawan dari umur 18 tahun,dari zaman Tunku Abdul Rahman hingga ke Mahathir dan di zaman Pak Lah saya bukan lagi wartawan tetapi saya tidak pernah merasakan hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara seperti yang saya rasakan sekarang.

Kita masih kuat dan teguh walaupun ringgit telah jatuh kerana kita memiliki negara yang asas ekonominya terbina dari kampung hingga ke bandar  tetapi apakah ini akan dapat dikekalkan?.

Saya bukan seorang ahli ekonomi tetapi saya berpandangan  kejatuhan  ringgit bukan kerana keruntuhan asas ekonomi negara tetapi kerana kehilangan keyakinan dunia dan negara-negara jiran terhadap kepimpinan negara yang lemah.

Kesilapan Mahathir paling besar ialah kerana beliau sendiri menanam kepercayaan dan berpegang kepada falsafah   maruah bangsa  boleh ditebus dengan kejayaan pembangunan meterialisme, mesti meramaikan jutawan Melayu dan beliau sendiri tidak dapat mengawal dirinya dan rakan-rakannya dalam hal ini untuk menjadi contoh kehidupan yang sederhana kepada rakyat seperi Lee Kuan Yew. Maka itu tidaklah heran jika Datuk Seri Najib percaya bahawa Money Is The King

Mahathir sedang membayar harga  yang sangat mahal kepada  kepercayaannya yang salah. Melayu bukanlah meterialisitik, peneroka tidak pernah ingat mahu jadi jutawan menerusi saham FELDA

– http://zamkata.blogspot.my/2

.