MAHATHIR RELA ANWAR DIBEBASKAN JIKA MENANG PRU14

SHAH ALAM – “Kalau rakyat nak (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, siapa saya nak tahan rakyat.” Begitulah respon bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya Felo Penang Institute Dr Wong Chin Huat mengenai kesediaan beliau mengepalai usaha membebaskan bekas timbalannya itu sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU14 datang.

Menurut Mahathir, beliau bukannya seorang pendendam malah musuh-musuhnya sebelum ini seperti Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah turut diberi kedudukan di dalam Kabinet pada zaman pemerintahannya.

“Saya tak simpan dalam hati.

“Tapi perkara ini perlu dilakukan oleh Perdana Menteri dan saya tidak memegang jawatan tersebut,” katanya ketika Program Hardtalk yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sekiranya memerintah, Mahathir menjelaskan ia boleh dilakukan sekiranya itu menjadi kehendak rakyat negara ini.

Beliau berkata, undang-undang yang digubal seharusnya sesuai dengan kehendak rakyat pada masa kini.

“Auku ditubuhkan kerana ramai penuntut berdemo sedangkan mereka dihantar ke universiti untuk belajar.

“Ini pendapat saya sebab saya nak selamatkan anak-anak kita bagi membolehkan mereka mendapat kelulusan yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, Mahathir memaklumkan bahawa tindakannya menyertai demonstrasi jalanan sebelum ini berikutan daripada semua saluran untuk rakyat bersuara telah ditutup.

Ujar beliau, tindakan berkenaan adalah merupakan langkah terakhir dan disebabkan itu, pihaknya mengambil keputusan untuk menyertai himpunan Bersih.

“Masa dulu kalau kita nak bertindak terhadap kerajaan terdapat banyak salu ran disediakan tapi kini tidak lagi.

“Sebab itu kita kena gunakan pertahanan akhir iaitu demostrasi,” katanya.

-SH