MAHATHIR, NAJIB SOLAT DI PUTRAJAYA SEBELUM HIMPUNAN BAITULMAQDIS

MUSUH politik Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad kedua-duanya hadir secara berasingan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Putrajaya — yang akan menjadi lokasi satu himpunan untuk menyatakan sokongan kepada warga Palestin petang ini.

Kehadiran Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) kira-kira 1 tengah hari menarik perhatian orang awam yang mula memenuhi kawasan luar dan dalam masjid sejak jam 11 pagi.

Perdana menteri pula tiba kira-kira 10 minit kemudian diiringi beberapa menteri kabinet dan pemimpin Umno.

Turut dijangka menyertai himpunan itu ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Orang ramai yang memenuhi kawasan Masjid Putra memakai pakaian putih dan selendang bendera Palestin dengan pihak berkuasa menutup laluan sejauh setengah kilometer antara Kementerian Kewangan di Presint 3 dan Dataran Putra.

Acara dimulai dengan forum khas untuk perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis yang menampilkan tokoh daripada pelbagai latar belakang termasuk Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi, Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al Agha, Presiden Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr Yusri Mohammad dan dipengerusikan tokoh akademik Dr Mahmood Zuhdi.

Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad menarik perhatian ramai di Masjid Putra, Putrajaya. Hari ini, Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis akan diadakan selepas solat Jumaat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2017.
Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad menarik perhatian ramai di Masjid Putra, Putrajaya. Hari ini, Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis akan diadakan selepas solat Jumaat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2017.

Ia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di ruang solat utama Masjid Putra.

Khutbah hari ini turut menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri sebelum acara sebenar bermula selepas selesai solat Jumaat.

THE MALAYSIAN INSIGHT

.