Mahathir: Mengapa hanya KLCC, roboh juga KLIA, Cyberjaya, Putrajaya

AMPANG –  BN dan Umno tidak lagi boleh berharap kepada Sabah sebagai deposit tetap parti itu dalam PRU14.

Bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Semporna, Datuk Mohd Aziz Jamman mendakwa, rakyat Sabah kini sedang mengalami gelombang untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan sedia ada.

Katanya, sentimen rakyat Sabah itu turut disokong dengan penubuhan parti baharu yang dijangka diketuai bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kami rakyat Sabah sebenarnya sudah tidak sabar untuk berdepan PRU14. Saya tahu kerajaan Umno sering mengatakan Sabah sebagai deposit tetap BN.

“Kita tidak ingin bercakap besar tetapi kita akan tunjukkan yang sebaliknya dalam PRU14,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jun lalu, Mohd Aziz menyertai bekas Naib Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong dan 300 ketua cawangan bahagian Semporna keluar dari Umno.

Tindakan mereka itu dibuat susulan keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantung keanggotaan Mohd Shafie.

Mengulas lanjut, Mohd Aziz berkata, beliau yakin parti baru itu akan mendapat sokongan rakyat Sabah walaupun mereka bergerak secara ‘underdog’.

“Buat masa ini, penjenamaan semula parti ini sudah di peringkat akhir. Nama parti akan diumumkan sendiri oleh Mohd Shafie setelah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.

– Sinar Harian

.