MAHATHIR MAHU JADIKAN MUKHRIZ PM, KATA NAJIB

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata usaha Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkannya tidak boleh dibenarkan kerana sekiranya berlaku, penggantinya juga akan berdepan situasi yang sama suatu hari nanti.

“Mahathir menuntut (Tun) Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai perdana menteri, dan kini menuntut peletakan jawatan saya, dan dia akan menuntut pengganti saya meletakkan jawatan sehingga anaknya menjadi perdana menteri.

“Kali ini, kita tidak akan biarkan dia berjaya kerana proses demokrasi mesti diguna pakai, dan kepentingan negara mesti didahulukan daripada keluarga Mahathir,” kata Najib dalam satu kenyataan malam ini.

Najib mendakwa tindakan Mahathir bukan didorong oleh kepentingan negara tetapi oleh “kepentingan peribadi yang mementingkan diri sendiri”.

“Dia (Mahathir) taksub untuk menyelamatkan warisan keluarganya dan menjadikan anaknya Mukhriz Mahathir perdana menteri,” katanya.

Najib berkata, Mahathir tidak mempunyai prinsip dan akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamatnya.
“(Ini termasuk) bersekongkol dengan mereka yang dipenjara, menggesa campur tangan asing dalam negara demokratik yang berdaulat, mensabotakan ekonomi kita, dan melakukan 100 U-turn jika perlu, untuk memanipulasi minda rakyat – sebagai satu cara untuk mencapai kehendak yang diingini,” kata perdana menteri.

Najib berkata, kerajaan akan terus memfokuskan mengenai kebajikan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia.

“Kepentingan mereka mesti datang dahulu, dan kita akan mengotakan janji-janji kita,” katanya.

– M’kini

.