MAHATHIR LEBIH BERANI BANDING NAJIB

ALOR SETAR – Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih berani berdepan dengan audien untuk menjawab soalan ‘panas’, selain bersedia mengambil risiko berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak muncul di pentas Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, kelmarin.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pelbagai soalan diajukan kepada Mahathir sebaik forum bermula, namun provokasi berterusan dilakukan terhadapnya ketika menjawab soalan.

“Soalan berkaitan peristiwa Memali pun belum habis dijawab, ketika Mahathir memperjelas jawapan, ketika itu juga individu terbabit melakukan provokasi. Namun beliau berani berdepan berbanding pihak satu lagi yang tak hadir,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Persidangan Dun Kedah.

Menurutnya, penganjuran program bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak memperjelas isu dibangkitkan, namun bertukar kecoh selepas Mahathir diasak dua isu panas, iaitu Memali dan tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepatutnya ia program ilmiah dan panel diberikan peluang berucap secara intelektual dalam suasana aman, dan digalakkan bertanya apa jua soalan kepada kedua pihak supaya rakyat sendiri buat pilihan, siapa antara mereka beri jawapan paling meyakinkan. Malangnya Najib tak hadir,” katanya.

Katanya, Mahathir tetap memberi jawapan walaupun diajukan soalan panas.

“Mahathir turut sentuh beberapa perkara yang sebelum ini diulas termasuk isu salah laku Najib, mungkin pihak sana tak dapat beri respons ilmiah, kerana wakilnya tak hadir, maka cara protes adalah dengan baling kerusi dan lontar suar,” katanya, yang turut nafikan isu Memali dan Anwar antara punca ahli Pas dan PKR masih tidak dapat menerima Mahathir.

Menurutnya, pihaknya yakin provokasi itu bukan dilakukan ahli Armada sendiri, sebaliknya pihak luar yang menyamar sebagai ahli.

“Mereka pakai baju Armada yang berbeza, untuk program itu penganjur bekalkan baju rekaan baharu, di mana baju dipakai sekumpulan yang buat kecoh berbeza. Saya nampak  kumpulan anak muda itu membuka baju dan buang baju merah itu di tepi jalan selepas forum,” katanya.

SINAR HARIAN

.