MAHATHIR KEMBALI KE KUBANG PASU?

Pakar strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berpendapat bekas kawasan parlimen Tun Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu sebagai tempat yang berpotensi untuk bekas perdana menteri itu kembali sebagai anggota parlimen.

Dr Mahathir berkata, beliau diberitahu Kubang Pasu merupakan kawasan yang berpotensi untuk dimenangi beliau dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, selain Langkawi dan Putrajaya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pada sidang media di Shah Alam hari ini sama ada akan bertanding dalam pilihan raya, memandangkan partinya melobi untuk meletakkannya sebagai perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi PRU ke-14.

Beliau menjawab,”Ya, ia soalan utama. Saya mungkin bertanding di tiga kawasan berbeza.

“Mereka (pakar strategi BERSATU) memberitahu saya potensi untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya. Jadi bersedia untuk itu,” katanya.

Dr Mahathir merupakan anggota parlimen Kubang Pasu sejak kawasan parlimen itu disenaraikan pada 1974 pada PRU ke-4 dan berkhidmat selama 30 tahun sehingga 2004.

Pengerusi BERSATU itu juga pernah menjadi anggota parlimen Kota Star Selatan dari 1964 hingga 1969, namun kawasan parlimen itu dibubarkan pada 1974 selepas persempadanan semula.

Dr Mahathir yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini menggambarkan beliau sanggup menjawat jawatan itu sekali lagi sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu, Naib Presiden BERSATU Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ayahnya dilihat sebagai calon terbaik untuk jawatan itu.

Menurut Mukhriz, seseorang yang mempunyai pengalaman luas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Malaysia seperti rasuah, imej negara yang terjejas, kejatuhan nilai Ringgit, beban hutang negara, dan institusi kerajaan yang lemah.

“Untuk selesaikan masalah yang tadi saya senaraikan, negara memerlukan orang yang berpengalaman, orang yang mempunyai rekod yang cemerlang menyelesaikan krisis-krisis berat, orang yang mempunyai keikhlasan berjuang untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukan kepentingan peribadi.

“BERSATU bukannya mahukan jawatan perdana menteri untuk glamour, untuk seronok-seronok, tetapi BERSATU menuntut jawatan perdana menteri itu kerana pengerusi kita Tun Mahathir dilihat paling layak, paling berpengalaman, untuk mengeluarkan Malaysia daripada belenggu yang sedang dihadapi,” katanya.

Mukriz menambah, rakyat mungkin suka dengan manifesto HARAPAN, namun rakyat mahu tahu siapa yang akan bertanggungjawab melaksanakannya.

“Dan rata-rata, rakyat mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya diikuti tepukan gemuruh hadirin.

– M’kini

.