MAHATHIR KE PARLIMEN IBARAT KERETA ANTIK

KUALA LUMPUR – “Kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibawa pembangkang  ke Parlimen hari ini tidak ubah seperti ‘membawa  kereta antik ‎ ke pertandingan  litar Formula 1,”.

Demikian ‎respon Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa mengenai kunjungan Mahathir ke Parlimen pagi tadi yang dipercayai kehadiran pertama beliau ke tempat kerja lamanya sejak beliau berundur sebagai perdana menteri 13 tahun lalu.

‎Mengulas mengenai kiasannya itu, Annuar berkata, “kereta antik memang menarik untuk  dipandang tetapi tidak lagi relevan untuk berlumba”.

Dalam pada itu, mengulas ‎mengenai ketidakhadiran bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam pertemuan Mahathir bersama ahli pembangkang itu, Annuar berkata, ini menunjukkan Husni masih setia bersama Umno.

“Husni seorang yang teguh berpendirian,” katanya.

Terdahulu, turut hadir bersama Mahathir dalam mesyuarat itu, adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu  Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas menteri, Datuk Seri Shafie Apdal; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Lebih 30 orang anggota parlimen pembangkang dilihat hadir, yang memberi sokongan penuh terhadap kesudian Mahathir hadir ke Parlimen hari ini.

Perjumpaan mesyuarat itu, dibuat di bangunan sementara di Parlimen.

SINAR HARIAN

.