Mahathir juga tinggalkan legasi ‘negatif’

KUALA NERUS – Rakyat perlu diberitahu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad ada meninggalkan legasi negatif yang perlu ditanggung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi memulihkan keadaan‎ supaya dapat meraih kepercayaan rakyat, Najib harus mengubah dan merombak legasi itu kerana ia hanya menyusah dan membebankan rakyat.

“Banyak legasi negatif rakyat terpaksa tanggung hari ini…saya tak nafikan ada legasi positif yang ditinggalkan ketika saya menjadi menteri, tetapi legasi negatif perlu dirombak.

“Sebagai contoh program penswastaan adalah legasi positif tetapi ada negatifnya. Rakyat kena bayar tol, semakin lama semakin mahal, tetapi rakyat marah pada Datuk Seri Najib sedangkan perjanjian dilakukan pada zaman Tun M. Tol naik tiga tahun sekali…ini legasi negatif pada zaman Tun M yang membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Himpunan Jentera Penerangan Umno Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

“…ada lagi legasi negatif pada zaman Tun M termasuk penswastaan sisa pepejal yang kita juga ada bincang dalam Majlis Tertinggi. Melalui penswastaan ini, kerajaan tempatan perlu bayar banyak…bila kerajaan tempatan perlu bayar banyak, kita terpaksa naikkan cukai pintu dan yang terbebannya rakyat.

“Legasi-legasi negatif ini hanya memperkayakan beberapa pihak…tetapi saya tak nafikan legasi positif kerana saya juga menteri ketika itu, tetapi mana-mana legasi negatif yang menyusahkan rakyat saya harap ia dirombak supaya rakyat lebih hidup senang,” kata Annuar.

Beliau berkata sekiranya legasi negatif era Dr Mahathir dapat diselesaikan, pihaknya percaya sokongan rakyat akan terus berpihak kepada kerajaan.

“Saya harap semasa Perhimpunan Agung Umno nanti, ada kalangan ahli minta kerajaan rombak legasi negatif tinggalan Tun M ini,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti rakyat yang belum berdaftar sebagai pemilih.

“Kita dah memperbaharui Biro Keahlian dan Daftar Pemilih yang mana kita sedang mengenal pasti ahli Umno yang belum daftar sebagai pemilih dan kita juga mengenal pasti 1.1 juta rakyat yang tidak daftar pemilih.

“Kita cuba membantu mereka yang tidak daftar ini supaya mendaftar sebagai pengundi dan anggota Umno,” katanya.

– Bernama

.