MAHATHIR JADI MENTERI KEWANGAN DULU ‘KERANA TERPAKSA’

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau memegang jawatan menteri kewangan hanya kerana beliau memerlukan masa sebelum melantik tokoh yang sesuai.

Kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, keadaan begitu berlaku apabila penyandangnya digugurkan atau dianggap tidak lagi boleh berkhidmat kepada kerajaan.

Namun kata Dr Mahathir beliau tetap percaya bahawa seseorang perdana menteri tidak sesuai turut menjalankan tugas sebagai menteri kewangan.

“Semasa saya menjadi perdana menteri, saya memegang jawatan menteri kewangan sebanyak dua kali.

“Sebabnya, kita sedang menunggu atau mencari calon (lain yang sesuai untuk) menjadi menteri kewangan.

“Apabila seseorang menteri kewangan digugurkan atau pun tidak lagi boleh berkhidmat, maka kita mengambil sedikit masa untuk mencari calon yang baik dan baru,” katanya dalam program Policy Talk disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Semasa menjadi menteri kewangan tambah Dr Mahathir beliau turut terlibat dalam penyediaan belanjawan.

Pernah dua kali

Justeru katanya sedikit sebanyak ia memberi pengalaman kepada beliau untuk menguruskan ekonomi negara.

“Tapi saya tetap berpendapat bahawa lebih baik kalau seseorang perdana menteri tidak pegang sama jawatan menteri kewangan,” katanya.

Dr Mahathir kini dinamakan sebagai calon perdana menteri dalam usaha HARAPAN meyakinkan orang ramai supaya mengundi mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi menggantikan BN.

Mandat parlimen pada 2013 lalu akan berakhir secara automatik Jun ini dan PRU ke-14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

Semasa memperkenalkan pelbagai rancangan HARAPAN, satu daripada cadangan mereka ialah mengelakkan perdana menteri turut memegang portfolio menteri kewangan.

Untuk rekod sepanjang tempoh 22 tahun menjadi perdana menteri Dr Mahathir pernah memegang jawatan menteri kewangan sekali gus mulai Sept Sept 1998 hingga Jan 1999.

Ia berlaku selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan berkenaan.

Dr Mahathir sekali lagi melaksanakan tugas menteri kewangan antara Jun 2001 hingga bersara pada Nov 2003.

Kekosongan jawatan di kementerian kewangan itu berlaku apabila penyandangnya, Tun Daim Zainuddin meletak jawatan.

– M’kini

.