Menurut beliau, gerakan menjatuhkan Najib yang diketuai Dr. Mahathir juga tidak menunjukkan belas kasihan sehingga tergamak menyerang isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak mereka.

“Najib tiada pilihan selain ‘bertempur’ mengikut peraturan yang ditetapkan oleh gerakan tersebut.

“Kini, Dr. Mahathir dan konco-konconya terpaksa menghadapi situasi sama seperti yang mereka lakukan terhadap Najib sejak dua tahun lalu,” katanya melalui portal Malaysia Today, http://www.malaysia-today.net malam tadi.

Sementara itu, Raja Petra melalui portal sama hari ini meminta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan sebab sebenar beliau meletak semua jawatannya dalam kerajaan dan parti.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Ahmad Husni berbuat demikian atas kepentingan rakyat atau kepentingan peribadinya sendiri.

“Ahmad Husni mahu menjadi Menteri Kewangan jadi apabila Najib menjelaskan perkara itu tidak akan berlaku malah beliau akan ditukar ke kementerian lain, Ahmad Husni marah dan seterusnya meletak jawatan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Raja Petra memberitahu, sebahagian besar penyokong pakatan pembangkang tidak tahu perkara itu dan menjulang Ahmad Husni sebagai wira semata-mata kerana beliau memburuk-burukkan Perdana Menteri.

Beliau berkata, Ahmad Husni sendiri mempu­nyai skandal peribadi termasuk dakwaan gangguan seksual sekali gus menjadikan Ahli Parlimen Tambun itu tidak layak untuk mengugut kerajaan.

“Ahmad Husni juga dipercayai kecewa setelah gagal dalam usahanya melobi untuk mendapatkan projek sambungan Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) yang dianggarkan bernilai RM2 bi­lion,” jelasnya.

Baru-baru ini, Ahmad Husni enggan mengulas lanjut tentang dakwaan Raja Petra itu ketika ditemui pemberita selepas majlis ceramah khas anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) di Shah Alam, Selangor.