MAHATHIR & ANWAR TIDAK SEMESTINYA MENJADI PERDANA MENERI

Fokus rakyat kepada Pakatan Harapan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan menggulingkan kerajaan UMNO(BN) nampaknya telah terpesong  kepada hendak mengembalikan  Tun Mahathir  pada kedudukan Perdana Menteri.
Rakyat tidak dapat disalahkan dalam hal ini kerana Pakatan Harapan sendiri tanpa sedar telah  bermain di tangan BN dengan mengutamakan perbincangan bakal perdana menteri.
Tidak dapat dinafikan bahawa Pakatan Harapan menarik keyakinan dan sokongan rakyat kerana penyertaan Mantan  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang menjadi pemimpin utamanya. Ini disertai dengan harapan beliau kembali menjadi Perdana Menteri untuk memulihkan keyakinan dalam dan luar  negara  yang telah luka parah sejak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.
BN menghina  harapan rakyat  ini dengan memomokkan seolah-olah  Mahathir yang sudah tua gila kuasa dan mahu kembali menjadi Perdana Menteri sehingga ke mati dan juga mahu mempastikan anaknya Mukhriz menjadi Perdana Menteri.
Exploitasi UMNO dalam isu ini hingga ke peringkat menggunakan mufti-mufti. Mufti Kelantan menasihatkan Mahathir supaya bersara dan  lebih mengingati kematian pada usianya sekarang tetapi mufti ini tidak pula menasihatkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz yang berpolitik hingga  kemati.
Maka itu untuk menghapuskan spekulasi ini, Tun Mahathir  sendiri harus menjelaskan bahawa keutamaannya adalah untuk menggulingkan Datuk Seri Najib dan bukannya untuk menjadi Perdana Menteri atau untuk  mempastikan anaknya menjadi Perdana Menteri.
Sewajarnya soal siapakah bakal  Perdana Menteri Pakatan Harapan tidak dibincangkan sekarang malah boleh ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya tetapi Pakatan Harapan telah masuk dalam perangkap BN apabila membiarkan  perbincangan ini berlarutan.
Mahathir tetap boleh berpengaruh dan berkesan ke atas kerajaan Pakatan Harapan sekalipun sekadar menjadi penasihat. Lupakanlah juga soal Anwar Ibrahim kembali menjadi Perdana Menteri kerana soal moral tidak boleh diperkecilkan dari segi agama dan maruah bangsa.
Tidaklah dapat dinafikan bahawa tanpa Tun Dr.Mahathir parti pembangkag tidak lagi akan menarik perhatian dan sokongan rakyat seperti sekarang ini yang menyebabkan BN dan khususnya Najib berada dalam kelemasan.
Sokongan ini disertai dengan harapan  beliau kembali menjadi Perdana Menteri  tetapi  Mahathir sendiri mesti bersungguh-sungguh meyakinkan rakyat bahawa beliau hanya bersedia untuk menjadi Perdana Menteri  sementara.
Rakyat pada keseluruhannya di seluruh negara hanya menunggu masa untuk membuang undi bagi menjatuhkan kerajaan BN atau UMNO.

Pilihanraya kali ini bukanlah lagi masa yang sukar bagi pembangkang mendapat sokongan rakyat  tetapi masa yang  amat sukar bagi Barisan Nasional untuk mempertahankan kuasa tetapi ini bergantung kepada Pakatan Harapan membuktikan perpaduan jujur dan ikhlas  bagi kepentingan rakyat dan bukan untuk  perebutan menjadi Perdana Menteri sebelum menang pilihanraya.

– zamkata.blogspot.my

.