‘MAGNUM, TOTO KINI HANYA AISKRIM DAN SELIMUT DI KELANTAN’

Pemuda PAS Kelantan melalui Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) menyeru supaya kerajaan negeri Selangor mencontohi pentadbiran PAS di Kota Bharu berhubung aktiviti perjudian berlesen.

Pengerusi Luham Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, “demi faedah umat manusia”, kerajaan Selangor dan negeri-negeri perlu lain mengabaikan lesen judi yang dibenarkan kerajaan persekutuan.

Kenyataan itu sebagai respon terhadap tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunus yang melakukan gimik pecah meja sebagai membantah aktiviti judi di Selangor dalam satu sidang media, semalam.

Menurut Nik Bahrum, Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam pernah disaman berkait judi dan loteri.

“Antara dakwaan saman tersebut menyebut bahawa industri judi dan loteri tertakluk kepada akta persekutuan.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kecil berkaitan apatah lagi menyekat aktivitinya.

“Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut dan menerima hujahan defendan bahawa walaupun lesen judi dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan tetapi kawalan premis perniagaan oleh PBT diperakui oleh Akta 171,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Bahrum berkata, Seksyen 9(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau Akta 171 jelas memperuntukkan kuasa PBT memberi arahan am mengenai dasar kerajaan negeri yang memerintah dan PBT hendaklah menguatkuasakan semua arahan dasar tersebut.

Katanya, Seksyen 102(i) akta yang sama juga memberi kuasa kepada PBT untuk mengawal selia premis perniagaan bawahnya termasuk memberi kebenaran atau sekatan terhadap jenis-jenis perniagaan.

“Sehubungan dengan itulah seawal tahun mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan BN, secara tepatnya memo bertarikh 8 Disember 1990 arahan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan kepada semua PBT menyatakan:

“Majlis Mesyuarat menimbang Kertas Bilangan 25/761/90 dan membuat keputusan tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Kewangan Malaysia untuk memperbaharui lesen Sports Toto (M) Berhad dan Magnum Corporation Berhad yang sedang beroperasi di Negeri Kelantan”.

“Seterusnya Majlis Mesyuarat juga memutuskan menegah semua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di seluruh Negeri Kelantan daripada mengeluarkan lesen premis bagi semua jenis perjudian,” katanya yang juga penasihat undang-undang Kelantan.

Beliau juga menyindir, selepas 27 tahun, anak-anak muda Kelantan tidak lagi mengenali Toto melainkan sebagai alas tidur dan “(jenama) Magnum dalam bentuk ais krim”.

“Keluarkanlah arahan seumpama arahan bertarikh 8 Disember 1990 di atas. Abaikan lesen judi kerajaan persekutuan. Ekonomi Selangor tidak sesekali akan merudum atas alasan itu,” jelasnya.

Kain selimut tebat turut dikenali sebagai toto di sesetengah negeri.

– M’kini

.