‘MAGIK’ NAJIB KURANGKAN KADAR KEMISKINAN DI SABAH?

MENTERI dari Sabah, Wilfred Madius Tungau berkata, Perdana Menteri Najib Razak harus dipuji kerana mengurangkan kadar kemiskinan negeri dari 19% pada 2009 kepada 2.9% sekarang.

Menteri sains dan teknologi itu berkata, Najib telah membuat “magik” dengan melaksanakan perintah gaji minimum pertama pada tahun 2012 yang menaikkan gaji kepada RM800 sebulan untuk Sabah dan Sarawak.

“Kadar kemiskinan menurun kepada 2.9%. Itu di bawah 5%. Wow! Itu hampir sifar kemiskinan. Itu pencapaian yang menakjubkan.

“Ia tipu atau magik? Ya, itulah Najib. Beliau buat magik. Magik yang belum pernah mana-mana perdana menteri buat sebelum ini,” kata Madius di hadapan 300 ketua jabatan dari pelbagai agensi pada seminar teknologi remote sensing di Kota Kinabalu hari ini

Madius turut menghuraikan pengunaan teknologi remote sensing dalam keselamatan, pertanian, konservasi hutan, dan keselamatan apabila beliau menyelitkan pujian kepada perdana menteri.

“Dan bagaimana beliau melakukannya?” soalnya. “Ini adalah ketika beliau melaksanakan perintah gaji minimum pada 2012.”

Najib menjadi perdana menteri pada 2009.

Menurut Madius, rakyat Sabah menjana pendapatan sekitar RM300 hingga RM400 sebulan sebelum pelaksanaan gaji minimum mula diperkenalkan lima tahun lalu.

Gaji minimum untuk Sabah dan Sarawak ialah RM920 dan RM1,000 untuk semenanjung selepas satu lagi perintah pada 2016.

“Jutaan rakyat di Malaysia dikeluarkan daripada kemiskinan dengan hanya satu dasar. Tidak pernah ada perdana menteri yang lakukan sebelum ini. Ini ialah khidmat yang besar kepada kami,” kata Madius dan menambah beliau masih tidak faham mengapa masih ada yang tidak suka kepada perdana menteri.

Katanya, kemiskinan di Sabah boleh dikurangkan dengan mengadaptasikan penggunaan teknologi remote sensing dalam bidang pertanian dan perikanan.

Sebagai contoh katanya, Mosti telah memajukan aplikasi MyCuaca yang membolehkan petani dan nelayan meramal cuaca buruk dan aplikasi MyIkan yang membantu nelayan mencari kawasan yang baik di laut untuk menangkap ikan.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.