LUPAKAN SAJA HASRAT MAHU TUBUH PARTI BARU

Kedua-dua mereka ini, Ezam Mohd Nor dan Khairuddin Abu Hassan pernah menyertai Bersatu sebelum ini, tetapi tidak lama kemudian bertindak keluar daripada parti itu.
Ezam memberi alasan berbuat demikian kerana ingin menumpukan kepada NGO anti rasuah yang sedang diterajuinya iaitu Hisbah Centre For Reform yang berpusat di Jakarta, Indonesia.
Khairuddin pula memberi alasan kerana ingin menumpukan perhatian menyelesaikan beberapa kes mahkamah yang melibatkan dirinya dan tidak mahu kes-kes itu menjejaskan nama baik Bersatu jika dibicarakan nanti.
Okay, kita memang menghormati dan mengkagumi pendirian mereka itu. Nampak macam ada pendirian dan begitu mementingkan kewibawaan.
Alih-alih kini dikhabarkan kedua-duanya sedang merancang untuk menubuhkan sebuah parti baru dan mahu bertanding dalam pilihanraya akan datang ini.
Ezam dilaporkan mahu bertanding di Pekan, Pahang yang kini diwakili oleh Najib Razak, sementara Khairuddin menyasarkan mahu bertanding di Titiwangsa yang sekarang Ahli Parlimennya adalah Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan Kedua.
Apa cerita ni beb, belum pun parti lulus lagi tapi siang-siang dah berani sebut kawasan mana mahu bertanding?
Apa agenda sebenarnya ni?
Kepada Ezam, kenapa sekarang mahu tubuh parti baru dan bertanding dalam pilihanraya sedangkan sebelum ini keluar Bersatu kerana ingin menumpukan kepada agenda melawan rasuah?
Sudah selesaikan agenda memerangi rasuah bersama Hisbah?
Begitu juga kepada Khairuddin, sudah selesaikah segala kes-kes yang sedang dihadapi di mahkamah, maka tiba-tiba mahu menubuhkan parti baru dan bertanding dalam pilihanraya?
Jika kes-kes mahkamah sebelum selesai, tidak bimbangkah nanti parti baru itu terjejas namanya bila perbicaraan diadakan?
Sejujurnya Pakatan Harapan sekarang ini, setelah Bersatu memutuskan akan menyertainya secara rasmi, sudah menjadi gabungan yang cukup ampuh dan kuat untuk menggegar dan menumbangkan Najib, UMNO dan BN.
Tidak perlunya lagi ditubuhkan parti baru, sebaliknya lebih baik berikan saja sokongan kepada Pakatan Harapan untuk memenuhi impian menukar kerajaan yang kini menjadi dambaan majoriti rakyat Malaysia.
Menubuhkan parti baru, lebih-lebih lagi dengan awal-awal menyebut kawasan mana yang mahu ditandingi, mungkin hanya menimbulkan tafsiran kedua-dua mereka itu ada agenda lain yang mahu dicapai dan sudah pudar kekentalan dalam perjuangan mahu menyingkirkan Najib sebagaimana sebelum ini.

Oleh itu, lupakan sajalah…

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.