‘LUMRAHLAH KALAU UMNO DIFITNAH MENJELANG PRU14’

Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengakui Umno dan kerajaan BN tidak akan terlepas dari segala tuduhan tidak berasas termasuk fitnah menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Fitnah dan tuduhan tidak berasas yang sengaja dilemparkan pembangkang terhadap Umno dan kerajaan merupakan perkara lumrah dan akan berlarutan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Itu cara pembangkang berpolitik, mereka akan serang Umno dan kerajaan dengan fakta yang telah diputar belitkan disamping fitnah untuk mengelirukan pemikiran rakyat.

“Saya sedih kerana media sosial dijadikan gelanggang untuk membuka aib pemimpin politik, difitnah dan digelarkan dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya,” ujar beliau dalam blognya.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menahan individu bagi membantu siasatan berhubung kenyataan mentohmah kepimpinan negara yang viral di laman sosial.

“Saya beri amaran… mana-mana pihak buat fitnah…kita tak akan
teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan, Akta Fitnah serta Kanun Keseksaan mengikut kesalahan yang dilakukan,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, justeru, Umno perlu menangani tohmohan pembangkang tersebut secara terbuka terutama yang membabitkan kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.

Pada masa yang sama, tambah beliau, perbuatan menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mana-mana pemimpin politik dikhuatiri akan memberi kesan kurang baik kepada generasi muda.

Malah, bimbang perbuatan menghina dan mengaibkan sesama pemimpin terutama membabitkan pemimpin Melayu dikhuatiri menjadi budaya politik negara ini di masa akan datang.

“Isu-isu peribadi tidak sepatutnya dijadikan modal untuk mengaibkan mana-mana pemimpin, sebaliknya gunakanlah kebijaksanaan memenangi hati rakyat dengan fakta yang rasional dan boleh diterima umum.

“Lagipun, membuka aib seseorang atau menyebarkan berita berunsur fitnah untuk secara jelas berniat memburukkan orang lain adalah amat dilarang oleh ajaran Islam,” jelasnya.

Semua pihak termasuk pemimpin politik pembangkang dan Umno perlu menghentikan perbuatan mencari silap orang lain dan lebih gemar bermain dengan persepsi.

– M’kini

.