LPF ARAH ASTRO TELITI SEMULA TAPISAN DRAMA ‘THE MAGNIFICENT CENTURY’

Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah mengarahkan syarikat Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) mengambil tindakan segera untuk meneliti semula tapisan kandungan drama bersiri The Magnificent Century yang didakwa mengandungi adegan kurang sesuai dalam konteks masyarakat Islam.

LPF dalam satu kenyataan semalam berkata syarikat itu melaksanakan tapisan kendiri ke atas semua kandungan yang ditayangkan di saluran televisyennya tanpa melalui tapisan lembaga itu.

Susulan aduan orang awam, LPF telah mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan pihak Astro pada hari Isnin lepas.

“Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam,” kata LPF.

Drama bersiri dari Turki yang ditayangkan di saluran Astro Maya HD dan Astro Prima itu mengisahkan pergolakan istana semasa pemerintahan Sultan Sulaiman ketika zaman Kerajaan Islam Uthmaniyah pada abad ke-16.

Baru-baru ini, isu drama itu viral di media sosial apabila orang ramai mengecam tindakan Astro menayangkan drama tersebut yang didakwa mengandungi adegan lucah, menghina Islam dan fitnah ke atas sejarah kerajaan Islam Uthmaniyah.

– Bernama

.