LOMBONG PASIR SECARA HARAM: 3 DITAHAN, AKAUN RM4 JUTA DIBEKU

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun syarikat bernilai RM4 juta semalam susulan penahanan tiga individu dipercayai terlibat dengan aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

Menurut sumber SPRM, mereka yang ditahan petang semalam ialah dua pengarah syarikat melombong pasir bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.

“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap aktiviti perlombongan pasir dan batu secara haram di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

“Pasukan penyiasat memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram dalam satu operasi dilancarkan 10 pagi semalam dan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta dibekukan,” katanya.

Kesemua suspek, menurutnya, akan dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk direman bagi membantu siasatan/

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata operasi itu dilancarkan selepas SPRM mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti mencuri pasir di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lepas.

– Bernama

.