LOGO CAP APA PUN TAK APA, KATA MAT SABU

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, berkata kritikan mengenai cadangan logo Pakatan Harapan baru-baru ini adalah perkara biasa.

Malah, beliau secara peribadi tidak kisah dengan apa sahaja logo yang dikemukakan tetapi berharap logo rasmi gabungan itu nanti akan mendapat persetujuan ramai.

“Bagi saya cap apa pun tak apa kerana itu hanya pandangan orang. Macam kami AMANAH sebelum ini ada orang kata (tiru logo) dari televisyen Indialah, tapi sekarang dah tak ada masalah.

“Simbol PKR di peringkat awal pun begitu juga, tak ada apalah. Simbol ini apa pun boleh, cuma kita minta persetujuan lebih ramailah, itu sahaja,” jelas Mohamad yang lebih popular dengan panggilan Mat Sabu.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) dan Hisbah Centre For Reform (Hisbah) dalam memerangi rasuah Felda di Wisma AMANAH hari ini.

Pakatan Harapan semalam mengumumkan telah menerima lebih 130 logo selepas mengalu-alukan agar orang ramai menghantar rekaan mereka untuk digunakan gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia selepas cadangan logo yang diterbitkan di laman Facebook Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini menerima kritikan orang ramai.

Tiga logo berkenaan berbentuk gambar matahari separuh dengan perkataan HARAPAN berwarna merah dan kuning serta satu logo dengan lambang ibu jari terangkat.

Rata-rata pengguna media sosial mengutuk rekaan itu yang disifatkan sebagai buruk.

Malah ada yang menyindir logo tangan itu mirip logo jenama produk kacang tanah terkenal.

MKINI

.