LOGIK ATAU TIDAK PENJELASAN ZAHID INI?

Selepas menyindir peranan penasihat yang boleh meruntuhkan sebuah kerajaan dan mendedahkan mengenai status PR yang dimiliki oleh Dr. Zakir Naik sambil membersihkan dirinya tidak terlibat dalam perkara itu, Zahid Hamidi segera tampil meredakan “cinta tiga penjuru” dalam negara dengan berkata, perlantikan Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri bukan bertujuan mengambil alih jawatan Perdana Menteri atau pun Timbalan Perdana Menteri.

Sebaliknya, ujar Timbalan Perdana Menteri itu, pelantikan Hishammuddin adalah bertujuan melengkapi usaha serius kerajaan menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa.

“Cadangan itu dibuat oleh saya kepada Perdana Menteri kira-kira tiga bulan lalu dan ketika itu, Hishammuddin tidak ada dalam mesyuarat.

“Ini adalah satu pancaran keikhlasan saya secara peribadi dan rasmi kepada Hishammuddin kerana kami bertiga (termasuk Perdana Menteri) pernah menjadi Menteri Pertahanan dan tahu banyak tugas lain yang perlu dilakukan,” katanya.

Hmmmmm…..

Logik dan boleh diterima akal atau tidak apa yang diperkatakan Zahid itu?

Menurut beliau, perlantikan Hishammuddin bertujuan melengkapi usaha serius kerajaan menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa.

Hishammuddin sebelum ini sudah pun berada dalam kabinet dan memegang portfolio Menteri Pertahanan, tetapi gambaran yang diberikan Zahid seolah-olah usaha kerajaan menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa selama ini masih belum cukup berkesan dan hanya dengan memberikan Hishammuddin jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas saja, barulah ia menjadi lengkap dan sempurna.

Seluruh kabinet dan kerajaan rupa-rupanya tidak lengkap dalam menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa, kecuali dengan menganugerahkan satu lagi portfolio menteri kepada Hishammuddin.

Wowww….hebatnya Hishammuddin kalau begitu!!

Yang peliknya juga, apakah tidak boleh  peranan tambahan itu diberikan melalui kapasiti sedia ada Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan saja, tanpa perlu diberikan satu lagi jawatan menteri kepadanya?

Atau pun, gugurkan saja portfolio Menteri Pertahanannya dan berikan beliau hanya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, kalau benar jawatan baru itu lebih penting?

Apa perlunya sepupu Perdana Menteri itu diberikan dua portfolio sekaligus dan hampir sama taraf dengan Timbalan Perdana Menteri sendiri?

Zahid juga mengesahkan, perlantikan Hishammuddin adalah berdasarkan saranannya kira-kira tiga bulan lalu kepada Najib.

Kiranya benar Zahid yang memberikan saranan perlantikan Hishammuddin dan ia pula benar-benar untuk melengkapi usaha kerajaan yang tidak lengkap dalam menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa, mengapa Najib mengambil masa selama tiga bulan untuk mengumumkannya?

Bukankah sepatutnya Hishammuddin sudah dilantik tiga bulan yang lalu lagi?

Kenapa juga reaksi Zahid sendiri ketika mula-mula diumumkan perlantikan Hishammuddin, nadanya terlihat begitu hambar dan kosong, kalau betul beliau yang mencadangkannya?

Jika Zahid sendiri yang mencadangkannya, kenapa pula beliau main sindir dan perli kepada Najib dan Hishammuddin?

Nampaknya penjelasan Zahid lebih mencetuskan kekeliruan berbanding menjernihkan keadaan, malah banyak pihak dalam UMNO sendiri hanya “senyum-senyum” dengan kenyataan beliau kali ini.

ShahbudinHusin