LIP ENG ‘PUJI’ JAMAL GIGIH CARI PUBLISITI

Anggota Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng hari ini ‘memuji’ kegigihan pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam mencari publisiti.

“Kegigihan kepala samseng Baju Merah UMNO ini mencari publisiti wajar dipuji,” kata Lim sambil turut menempelak Jamal yang didakwanya cemburu dengan layanan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap pengusaha gerai ‘Nasi Lemak Anak Dara’.

“Saya ingin ingatkan beliau (Jamal) bahawa resort tersebut adalah sebuah perusahaan tidak sah di sisi undang-undang.

“Jamal sebagai pemiliknya telah melanggar arahan pihak berkuasa tempatan berkali-kali.

“Berbeza dengan Siti Hajjar yang menerima borang permohonan lesen niaga ketika lawatan menteri besar ke gerainya dan kelulusan diberikan setelah mematuhi syarat-syarat yang dikenakan,” kata Lim dalam kenyataan.

Kira-kira tiga bulan yang lalu, selepas disaman peguat kuasa negeri, pengusaha gerai ‘Nasi Lemak Anak Dara’, Siti Hajjar Ahmad menerima kunjungan menteri besar Selangor.

Azmin sendiri datang menyerahkan borang permohonan lesen penjaja kepada gadis 24 tahun yang menjadi sensasi Internet kerana kecekalannya mencari rezeki itu.

Media rasmi kerajaan negeri melaporkan kunjungan Azmin sebagai tanda sokongan kepada Siti Hajjar yang gigih meniaga bagi menampung kehidupan selepas tamat belajar di universiti.

Sebelum itu, beliau dilaporkan dikenakan kompaun RM2,000 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Mengulas lanjut, Lim berkata, pihaknya juga mempersoalkan Lesen Import (AP) yang didakwa beliau turut diperolehi oleh Jamal.

“Berapa banyak AP untuk kereta import telah diberikan kepada syarikat kenderaan milik Jamal setiap tahun oleh tuan-tuan politiknya di dalam UMNO.

“Kenapa tidak sebahagian daripada AP milik Jamal itu diberikan kepada usahawan muda lain,” tanya Lim.

– M’kini

.