LIP ENG PERSOAL TINDAKAN PANDIKAR

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat kajian sendiri mengenai pembentangan belanjawan Parlimen di United Kingdom (UK).

Menurut beliau, kajian tersebut mendapati  ramai ahli Parlimen dari parti konservatif meninggalkan sidang ketika menteri kewangan ketika itu, Geoffrey Howe berucap sewaktu pembentangan bajet pada tahun 1981 semasa pentadbiran Margaret Thatcher.

“Adakah Pandikar akan memohon maaf kepada ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan dewan ketika ucapan Belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setelah diminta keluar oleh beliau (Pandikar)?

“Atau adakah beliau akan menuduh saya mempersendakan Speaker di luar Parlimen?” soalnya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, sebilangan ahli Parlimen pembangkang bertindak untuk keluar dewan ketika Najib membentangkan Bajet 2017 sebagai tanda protes.

Susulan tindakan tersebut, Pandikar telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada wakil rakyat berjalan keluar semasa pembentangan belanjawan di Parlimen di United Kingdom (UK).

Sehubungan itu, Lip Eng turut mempersoalkan kesediaan Pandikar untuk meletakkan jawatan sebagai Speaker bagi mencontohi dewan rakyat di negara demokratik.

“Selain itu juga, saya ingin mempersoalkan sama ada Pandikar akan membenarkan anggota parlimen pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut menjadi amalan House of Commons UK serta di negara-negara demokratik yang lain.

“Dahulu kita pernah melantik ahli Parlimen menjadi Speaker sehinggalah Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1964,” katanya.

SINAR HARIAN

.