LIOW TIONG LAI DAN SI PENGEMBALA BIRI-BIRI

SAYA merasa cukup sedih menonton video pendek lakonan Presiden MCA Liow Tiong Lai yang dikatakan tular kebelakangan ini.

Secara keseluruhan, dari aspek teknikal dan visualnya, saya kira ia satu naskhah yang agak baik. Sekalipun ia dikategorikan sebagai video propaganda, sekurang-kurang ia secara jujur cuba menggunakan bahasa visual untuk menarik emosi dan perhatian penonton.

Dalam politik, sememangnya emosi diperlukan untuk tujuan meraih simpati audiens. Ini biasa bagi peraih undi.

Namun, kesedihan saya bukan kerana adegan atau kesan visual dari video itu, kesedihan saya kerana saya teringat akan sebuah kisah lama. Cerita di zaman kanak-kanak yang mungkin ramai mengetahuinya.

Kisah Si Pengembala Biri-biri dan Serigala.

Kisah ini diceritakan kepada saya di zaman kanak-kanak sebagai satu nasihat agar jangan berbohong kepada orang. Pembohongan yang dilakukan berulang kali, walaupun akhirnya perkara yang dibohong itu benar-benar terjadi, orang tidak akan lagi percaya kepada kita.

Ketika itu, menangis air mata darah sekalipun, tiada sesiap yang mahu mempercayainya lagi.

Kisah si pengembala biri-biri ini adalah sebuah kisah siri-siri pembohongan. Dalam kisah kanak-kanak ini, si pengembala biri-biri merasa keseorangan dan inginkan perhatian. Maka diciptanya siri-siri pembohongan agar dia mendapat perhatian.

Pembohongan bagi si pengembala ini, adalah suatu permainan yang menyeronokkan. Dia mendapat perhatian sekalipun dia dimarahi oleh penduduk yang geram dengan tingkah lakunya. Hinggalah suatu ketika, pembohongan itu benar-benar terjadi.

Segerombolan serigala telah menyerang dan membaham kambing-kambingnya. Ketika itu, tiada siapa lagi yang sanggup datang menolongnya.

Inilah gambaran kesedihan saya setelah menonton video pendek yang dikatakan tular itu.

MCA menerusi Liow Tiong Lai hari ini boleh diibaratkan seperti pengembala biri-biri itu. Hari ini beliau memujuk rayu dengan penuh emosi kepada rakyat agar terus menaruh kepercayaan dan harapan kepada kerajaan Kleptokrasinya.

Ketika MCA diberi kepercayaan oleh rakyat khususnya dari kaum Tiong Hoa, elit-elit MCA ini hanya menjadi broker politik kepada elit-elit politik dan tauke-tauke kaya.

Di Johor yang dikatakan kubu terakhir MCA, kita boleh lihat di peringkat akar umbi, cara kepimpinan MCA bila mana Ahli-ahli majlis MCA yang dilantik di setiap PBT ini, telah bekerja secara terpilih atau selektif.

Penduduk yang cenderung menyokong pembangkang, akan mendapat layanan yang dingin dan selalunya, diabaikan.

Setiap isu yang timbul, ahli majlis mereka meminta rakyat pergi merujuk kepada wakil pembangkang seolah-olah wakil rakyat pembangkang ini adalah kerajaan. Drama-drama politik MCA di peringkat tempatan ini sangat hodoh dan memualkan.

Pimpinan akar umbi mereka gagal menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat selama ini untuk memberi bakti khidmat kepada seluruh rakyat merentasi jalur politik.

Inilah yang berlaku kepada Liow Tong Lai, Si Pengembala Biri-biri.

Kali ini, dengan muka sedih dengan lakonan yang mengharukan, beliau merayu kepada rakyat untuk terus yakin dengan kerajaan.

Ironinya, dalam masa mereka memperlekeh usaha Pakatan Harapan, dalam cerita pendek Liow Tong Lai ini, beliau secara jelas meminta agar rakyat jangan putus HARAPAN kepada kerajaan.

Harapan kepada kerajaan? kerajaan Liow Tong Lai ialah kerajaan ‘Serigala’ yang telah mencuri harta rakyat. Kerajaan yang diwakili Liow Tong Lai ialah kerajaan Kleptokrasi. Bagaimana beliau sanggup meminta rakyat untuk jangan putus harap dengan kerajaan pencuri?.

Jika kita ini adalah kambing biri-biri, kita tidak mahu digembala oleh seorang gembala yang pembohong, cuai dan tidak amanah. Sebagai rakyat, kita tidak akan percaya lagi dengan janji-janji dan harapan kerajaan pencuri (Kleptokrasi).

– https://www.themalaysianinsight.com

,