LIOW: MITOS ‘TOKONG’ TAK BOLEH KALAH SUDAH MULAI RETAK

Mitos bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak dapat dikalahkan sudah mulai ‘retak’, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Banjir besar serta tanah runtuh di Pulau Pinang baru-baru ini, secara tidak langsung mendedahkan ketidakupayaan Lim dan kekurangan tanggungjawab.

“Mitos bahawa ‘tokong’ (Lim) tidak boleh dikalahkan sudah mulai retak,” kata Liow pada perhimpunan agung tahunan MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Tokong adalah nama gelaran yang diberikan pengkritik Lim kerana tingkah lakunya yang dianggapnya sombong.

Pulau Pinang digegarkan oleh insiden tanah runtuh di kawasan bukit di Tanjung Bungah bulan lepas yang mengorbankan 11 orang.

Tragedi itu menimbulkan persoalan serius mengenai dasar kerajaan negeri yang diketuai DAP dan penguatkuasaan peraturan alam sekitar dan pembangunan.

Sebelum itu pada bulan September lalu, negeri itu dilanda banjir.

Sementara itu, Liow juga mendakwa DAP mengkhianati mandat yang diberikan kepada mereka oleh masyarakat Cina.

“Setelah mendapat kuasa, DAP telah mengkhianati mandat yang diberikan oleh masyarakat Cina.

“Kita perlu membantu pengundi mengaudit DAP dan mendedahkan semua tindakannya yang membolehkan dinasti Lim meneruskan usaha untuk mendapatkan kuasa, terutama ketika ia bersekongkol dengan PAS, dan kemudiannya (Tun) Dr Mahathir Mohammad, yang telah menyebabkan integriti politiknya diragui,” kata presiden MCA itu.

– M’kini

.