LIOW: ‘MCA TENTANG RUU HADI SEBAB TAK IKUT PERLEMBAGAAN’

MCA hari ini mengulangi bahawa ia tidak akan menyokong rang undang-undang yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 kerana ia tidak mengikut perlembagaan.

“MCA masih tegas menentang sebarang rang undang-undang yang ia percaya bertentangan dengan semangat dan Perlembagaan Persekutuan,” kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata MCA membantah rang undang-undang itu kerana ia pada hakikatnya tidak ada kena mengena dengan undang-undang Islam.

“Kami menafikan bahawa kami menentang enakmen Islam. Ia tidak pernah menjadi agenda kami.

“Akta 1965 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) telah wujud selama 51 tahun dan MCA tidak pernah sekali menyentuh mengenai enakmen ini dalam apa jua bentuk atau cara.

“Pendirian kami tetap sama sejak isu ini timbul dan kami mahu menjelaskan bahawa kami tidak akan melayan apa-apa lagi spekulasi mengenai perkara ini,” kata Liow.

Liow berkata penjelasan itu perlu memandangkan laporan berita yang bercanggah mengenai pendirian MCA mengenai rang undang-undang dibawa Hadi.

Khamis lalu, Hadi membentangkan usul untuk meningkatkan hukuman di bawah Akta itu yang membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Hukuman pada masa ini adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Liow sebelum ini berjanji meletak jawatan kabinet sekiranya RUU yang digelar “rang undang-undang Hudud” itu diluluskan.

The Straits Times Jumaat lalu bagaimanapun, memetik Liow berkata beliau akan mengundi rang undang-undang yang sama jika dibawa kerajaan berdasarkan semangat Perlembagaan Persekutuan.

MSTAR

.