‘LIMA SOALAN POPULAR SERING ORANG TANYA SAYA’ – ZAM

SAYA sering disapa oleh orang yang  mengenali saya walaupun saya tidak mengenali mereka. Saya dapat mengagak bahawa sapaan ini pasti akan disertai dengan pertanyaan yang sama.

Pertanyaan yang popular:

1. Datuk apa akan jadi pada negara kita?
2. Tan Sri, Apa akan jadi pada cucu cicit kita akan datang?

3. Tan Sri, Kenaapa Najib tak mahu berhenti?

4. Tan Sri, Apa kita nak buat?

5. Tan Sri, Di mana boleh dapat borang Bersatu?

Dan pagi ini salah seorang dari tiga orang  yang sedang minum teh tarik di sebuah gerai  telah datang kepada saya dan terus berkata, “Tan Sri negara kita sedang runtuh.”

Mungkin ini dianggap sebagai suatu maklum balas yang berat sebelah kerana banyak  membuat persepsi saya adalah anti Najib tetapi dalam pada itu saya tetap mengharapkan semua jentera Umno akan menerimanya dengan positif dan mengambil sesuatu langkah yang boleh menghilangkan kebimbangan rakyat.

Pengalaman saya memberitahu saya sekalipun kebangkitan anti Mahathir begitu hangat memuncak ketika rakyat menyokong reformasi Anwar Ibrahim tetapi   orang ramai tidak bersuara secara terbuka seperti sekarang yang merangkumi semua peringkat rakyat.

Hanya satu permintaan saya kepada Jasa, Polis Bahagian Khas (SB), perisik tentera dan juga jentera-jentera Umno berilah tahu secara jujur dan terus terang akan perasaan sebenar rakyat terhadap Najib demi keselamatan Umno dan orang Melayu.

Semakin kuat kempen memburukkan Mahathir di TV dan akhbar-akhbar Umno semakin memuncak kebencian dan kemarahan pada Najib. Orang yang waras tidak melihat faedah kepada Najib atas beberapa isu yang cuba dipanaskan walaupun sebenarnya tidak lagi panas.

Umpamanya penduduk di kawasan Felda memberitahu saya, “Kami tak tahu kisah BMF, itu kisah 30 tahun dahulu, mana kami nak ingat.”

Orang di bandar-bandar lagi sinis. Mereka kata Najib dah habis modal. Nampak benar dia cemas dan panik. Macam-macam ditimbulkan nak lupakan rakyat tentang harga barang mahal, harga minyak naik dan juga harta-harta negara dijual pada China.

Isu-isu yang digunakan untuk memburukkan Mahathir dilihat sebagai suatu pengakuan Najib terhadap keburukannya dirinya sendiri. “Apa salah kami membuat yang buruk kalau Mahathir membuat keburukan yang lebih besar,” tetapi cerita basi tidak digemari manusia.

Kata mereka soal Batu Putih ditimbulkan untuk melupakan rakyat terhadap kenaikan harga barang, harga minyak dan sebagainya,tetapi rakyat lebih cepat percaya kepada sebaran khabar angin Azmin  Ali mengatakan seorang lagi akan berhenti kerana tak mahu bersubahat dengan 1MDB.

Jika sekiranya maklum balas ini tidak mahu diterima oleh orang Umno, BN dan juga pihak perisikan maka apa nak buat lagi nasihat semua pihak yang ikhlas, yang sayangkan Umno, tak dipedulikan.

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN

– http://www.sinarharian.com.my/

.