LIM: NAMPAK MACAM 20 ORANG SAJA KELUAR DAP

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak percaya seramai 182 anggota akar umbi DAP di Melaka mengumumkan keluar daripada parti itu, semalam.

Lim berkata, berdasarkan gambar yang dimuat naik ke media sosial, beliau tidak ‘nampak’ 182 orang meninggalkan parti itu, sebaliknya hanya sekitar 20 orang berbuat demikian.

“Ada 182 ke? DAP ada 150,000 ahli. Kami menilai dan menghargai kesemua ahli-ahli kami dan daripada 150,000 ahli, yang saya nampak dalam gambar hanya 20 lebih sahaja.

“Tapi yang 20 orang dalam gambar yang dilaporkan dalam media BN mungkin boleh jadi 182,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Semalam seramai 182 anggota DAP Melaka mengumumkan keluar parti bagi mengikut jejak langkah Ahli Parlimen, Sim Tong Him bersama tiga ADUN lain yang berbuat demikian bulan lalu.

Mereka diketuai tujuh bekas anggota jawatankuasa DAP negeri bertindak demikian selepas mendakwa berasa ‘kecewa’ dengan parti itu.

Antara lain mereka mendakwa DAP menyimpang daripada prinsip “Malaysian Malaysia”, kata bekas Setiausaha DAP Melaka, Liou Chen Kuang.

Mengulas lanjut, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata mereka yang keluar DAP mungkin berasa hampa selepas kalah dalam pemilihan parti sebelum ini.

Katanya, beliau berharap mereka akan kekal dalam DAP tetapi tidak dapat menghalang jika mereka ingin meninggalkan parti itu.

“Harap mereka terus dalam DAP, dalam pilihan raya, kalah atau menang itu biasa. Teruskan mana tahu dalam pemilihan parti akan datang mereka menang.

“Namun jika mereka terus dengan keputusan mereka, saya ucapkan terima kasih atas sumbangan mereka,” kata Lim.

– M’kini

.