LIM KIT SIANG SIHAT SETELAH JALANI PEMBEDAHAN

KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilaporkan dalam keadaan baik setelah menjalani pembedahan susulan didiagnosis menghidap kanser tahap 1.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mengesahkan perkara itu berkata Kit Siang, 76, kini beransur sihat selepas pembedahan membuang tumor kecil pada buah pinggang kirinya.

Kit Siang akan kembali aktif berpolitik akhir bulan ini, kata Chin Tong.

“Beliau (Kit Siang)  sudah baik dan sihat sekarang, 27 Januari nanti beliau akan mula turun ke serata Johor,” katanya kepada Bernama hari ini.

Disember lepas, Kit Siang didiagnosis menghidap kanser tahap 1 dan telah berehat selama sebulan selepas menjalani rawatan dan pembedahan, kata Chin Tong.

Keadaan kesihatan pemimpin pembangkang itu menjadi tanda tanya memandangkan beliau tidak menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam, 7 Januari lepas dan senyap dari radar politik tanah air sehingga kini.

– Bernama

.