Letupan Manhattan Dibimbangi Ada Kaitan Serangan 11 September

PETALING JAYA – Letupan di Manhattan adalah satu kejutan buat semua penduduk di New York dan terdapat kebimbangan ia mempunyai kaitan dengan kejadian serangan pada 11 September 2001, kata seorang rakyat Malaysia, Barani Krishnan.

Barani, yang juga seorang wartawan berkata apa yang menjadi kebimbangan adalah laporan yang memetik Datuk Bandar New York, Bill de Blasio sebagai berkata bahawa letupan itu adalah ‘disengajakan’.

“Apa maksud sebenarnya masih tidak jelas pada masa ini, menyebabkan ia terbuka kepada pelbagai tafsiran,” katanya ketika dihubungi The Star, Ahad.

Berasal dari Kuala Lumpur dan pernah bekerja dengan The Star antara tahun 1989 dan 1992, Barani berkata terdapat satu lagi kejadian di New Jersey, tetapi menurut Blasio, ia tidak berkait.

Barani, yang berpindah dari Reuters Kuala Lumpur ke New York pada tahun 2006 berkata kebimbangan sering berlaku di bandar ini setiap kali menjelangnya ulang tahun tragedi 11/9.

“Seminggu sebelum ulang tahun, bandar ini akan menyaksikan pasukan polis dengan kelengkapan penuh,” katanya.

Dilaporkan bahawa letupan yang dilakukan dengan sengaja itu telah menggegarkan penempatan mewah dan sibuk di New York pada malam Sabtu, mencederakan 29 orang, seminggu selepas ulang tahun ke-15 serangan 11/9.

Letupan itu berlaku di Chelsea sekitar pukul 8.30 malam waktu tempatan, waktu hujung minggu yang sibuk di kawasan yang penuh dengan bar, restoran dan blok pangsapuri mewah. – Mstar