LETAK JAWATAN ATAU INGKAR PERINTAH RAJA MUDA – PENYOKONG SELANGOR

Kelemahan dalam peraturan akaun amanah oleh firma undang-undang Amerika Syarikat membolehkannya disalahgunakan untuk tujuan pengubahan wang haram, lapor The Wall Street Journal.

Memetik 1MDB dan beberapa contoh lain, laporan itu berkata kelemahan tersebut digunakan oleh dalang di sebalik skandal pengubahan wang haram antarabangsa.

Tidak seperti akaun biasa, yang memerlukan pelanggan mengisytiharkan tujuan memindahkan sejumlah besar wang kepada institusi kewangan apabila berbuat demikian, piawaian sama tidak digunakan bagi  akaun amanah yang dimiliki oleh firma undang-undang.

Akaun amanah digunakan oleh firma undang-undang untuk mengendalikan dana pelanggan mereka, seperti wang untuk pembelian hartanah.

“Firma undang-undang sekaligus memasukkan wang pelanggan yang dipegang untuk tempoh yang singkat … ke dalam akaun bank bersama, dan firma undang-undang tidak perlu mendedahkan wang tunai siapa yang berada di dalam akaun mereka.

“Menurut bank, mereka umumnya hanya melihat nama sesebuah firma undang-undang,” kata laporan itu.

Dalam kes 1MDB, selepas AS$700 juta didakwa diselewengkan kepada akaun bank RBS Coutts di Switzerland yang dikawal oleh Good Star Limited milik Jho Low pada September 2009, dana AS$148 juta kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun amanah firma undang-undang Shearman & Sterling pada bulan berikutnya.

Wang AS$22 juta daripada akaun amanah itu kemudian didakwa digunakan untuk membeli unit Kondominium Park Laurel di New York pada Februari 2010.

Begitu juga, apabila AS$238 juta yang kononnya diselewengkan daripada 1MDB antara Jun dan November 2012 disalurkan ke dalam akaun BSI Bank di Singapura yang dikuasai oleh Red Granite Capital milik anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – Riza Shahriz Abdul Aziz, AS$34 juta dipindahkan ke akaun amanah Shearman & Sterling pada 16 Nov, 2012.

Tiga hari kemudian, AS$34 juta dipindahkan ke akaun amanah sebuah firma undang-undang lain, Sullivan & Cromwell.

Wang itu didakwa digunakan oleh Riza untuk membeli unit Kondominium Park Laurel yang sama daripada Jho Low.

Semua ini diperincikan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang setebal 136 muka surat dalam usahanya untuk merampas aset yang diperolehi menggunakan wang kononnya disalahgunakan oleh 1MDB dan digubah melalui sistem kewangan negara itu.

– M’kini

.