LEPAS SAHAM BUKAN JAWAPAN SEGERA KEMELUT UTUSAN

Umno melabur dalam syarikat Utusan Melayu (M) Bhd kerana meyakini falsafah dan perjuangan akhbar berkenaan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua penerangan Umno itu berkata jika melihat kepada aspek kewangan semata-mata Umno boleh melabur di tempat lain yang menjanjikan lebih banyak keuntungan.

Katanya kehidupan bukan sekadar tentang wang semata-mata sebaliknya perjuangan dan Umno yakin peranan itu dapat dimainkan oleh akhbar terbitan syarikat itu.

“(Ia) bukan (tentang) berapa banyak duit yang dia dapat tetapi akhbar mempunyai peranan untuk dimainkan bagi mencapai matlamat mengapa mereka wujud,” katanya di parlimen semalam.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh ditanya mengenai keadaan semasa syarikat Utusan Melayu yang baru-baru ini dilaporkan membuat pembayaran gaji kepada kakitangannya lebih lewat dari biasa.

Ekoran keadaan itu Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia meminta Umno – selaku pemegang saham terbesar Kumpulan Utusan – melepaskan pegangan mereka dalam syarikat akhbar tertua Melayu itu.

Gaji lewat

Dalam kenyataannya, Majlis Tertinggi NUJ berkata, tindakan Umno melepaskan penguasaan saham sekitar 50 peratus yang dimilikinya membolehkan pengambil alihan saham oleh pihak lain.

“Dengan pengambil alihan tersebut, ia akan membuka seluas-luasnya ruang kepada usaha untuk memulihkan kedudukan kewangan syarikat yang kini berdepan pelbagai masalah dengan melaksanakan penstrukturan semula.

“Ini termasuklah kerugian yang terus dicatat Utusan sejak 2009 sehingga ke hari ini selain pembayaran lewat gaji kakitangannya, kejatuhan pengedaran akhbar dan pendapatan iklan di samping terpaksa membayar ganti rugi akibat kalah dalam saman di mahkamah.

“Paling menyedihkan apabila syarikat terpaksa menggunakan wang potongan pinjaman peribadi kakitangan kepada pihak bank untuk meneruskan operasi syarikat buat masa ini,” kata kenyataan dikeluarkan.

Mengenai cadangan Umno melepaskan saham dalam Utusan Melayu atau cuba menyelamatkan syarikat tersebut, Annuar berkata soal siapa pemegang saham tidak penting.

Sebaliknya kata Annuar masalah timbul apabila ada “sesetengah orang” sengaja tidak memberi sokongan kepada Utusan kerana tidak gemar dengan “prinsip perjuangan” akhbar berkenaan.

“Utusan berpegang kuat pada prinsip perjuangannya, mereka tak lihat untung,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata isu penurunan edaran akhbar bukan hanya dialami kumpulan Utusan sebaliknya fenomea global.

Malah katanya banyak akhbar di AS terpaksa ditutup walaupun bukan dikuasai mana-mana parti politik.

“Jadi kalau NUJ berkira jika Umno tarik saham dan esok (Utusan) akan untung (itu) adalah pandangan yang terlalu mudah dan saya tidak fikir ia akan menguntungkan wartawan dan sesiapa yang bekerja di Utusan,” katanya kepada Malaysiakini.

Baca setiap hari

Ahmad Shabery yang juga menteri pertanian dan industri asas tani berkata apa yang lebih penting Utusan dan wartawannya mesti memikirkan apakah kaedah yang sesuai untuk membolehkan mereka berkembang seiring dengan masa.

Katanya pengguna tidak membaca akbbar bukan kerana wujud kawalan (melalui pegangan saham) sebaliknya ia berlaku selaras degan kecenderungan masyarakat dunia.

“Kalau NUJ benar-benar ingin menjaga kebajikan wartawan mereka harus datang dengan cadangan konkrit. Bukan (menganggap jika) Umno tarik (saham), esok (keadaan terus) elok.

“Ia bukan penyelesaian yang mudah. Ia tidak semudah itu,” katanya.

Ahmad Shabery juga tidak berpendapat Umno – sebagai pemegang saham – mempunyai kewajipan membantu syarikat itu

Sebaliknya beliau berpendapat pengguna yang terdiri daripada kalangan bukan ahli Umno “mesti” membeli akhbar berkenaan.

Ditanya sama ada beliau membaca akhbar Utusan, Ahmad Shabery berkata: “Saya membaca setiap hari, saya masih melanggan Utusan dan melanggan banyak akhbar lain.”

Cubaan Malaysiakini mendapatkan pandangan tiga lagi menteri gagal. Apabila diajukan soalan mengenai keadaan semasa Utusan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Tan Sri Noh Omar hanya menggelengkan kepala.

Laporan kini berbeza

Bagi Anggota Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin, saranan dibuat NUJ itu dianggap “adil” ketika negara menyaksikan ramai orang dibuang kerja.

Kata Shamsul Iskandar, keadaan kewangan yang menderita Utusan kini ditanggung oleh kakitangan syarikat berkenaan.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk Umno berjiwa besar (dengan melupuskan pegangan sahamnya),” katanya.

Shamsul Iskandar yang juga naib presiden PKR berpendapat jika kemelut itu tidak diatasi segera ada kemungkinan Utusan tidak mampu membayar kos operasi dan gaji kakitangannya.

Beliau juga menyatakan laporan Utusan kini sama sekali berbeza berbanding era 1990-an apabila akhbar itu didakwanya membuat liputan lebih menyeluruh, manakala sudut pandang kolumnisnya tidak mempromosikan Umno dan BN.

“Saya masih ingat kolum (Tan Sri) Johan Jaafar. Ia ruangan yang wajib dibaca kerana dia akan wujudkan satu sudut pandang tersendiri mengenai perkembangan negara.

“Justeru elok dikembalikan zaman itu. Walaupun saya mewakili pembangkang kami juga perlu mendapatkan wacana progresif berbanding perbahasan sempit bertujuan melaga-lagakan kaum dalam negara ini,” katanya.

MKINI

.