LEPAS 5 TAHUN, AHLI UMNO ADUKAN NOH PADA SPRM

Seorang pemimpin akar umbi Umno membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu-isu pentadbiran Tan Sri Noh Omar semasa menjadi menteri pertanian dan industri asas tani.

Dua laporan itu berkaitan pembelian 30 ekar tanah di Tanjung Karang yang didakwa bawah harga pasaran serta tender benih padi bernilai RM164.8 juta yang dikatakan diberi kepada pembekal tidak layak.

Ketua Penerangan Umno Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail membuat laporan itu di SPRM Putrajaya pada jam 11 pagi tadi.

“Sebelum ini ADUN Sekinchan (Ng Suee Lim) ada mendedahkan mengenai isu pembelian tanah pada 2012 tapi sampai sekarang tidak ada apa-apa tindakan.

“Dengan aduan ini saya minta SPRM dapat lakukan siasatan sekiranya berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Noh,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Syed Rosli berkata, beliau turut memberi dokumen berkaitan dua isu tersebut bagi menyokong laporannya. Dokumen itu tidak didedahkan kepada pemberita.

Sementara itu, ditanya mengapa selepas lima tahun baru beliau membuat laporan kepada SPRM, Syed Rosli berkata memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, beliau mahu seorang pemimpin BN yang bersih mentadbir Selangor.

“Rakyat perlu tahu siapa sebenarnya Tan Sri Noh Omar ini dan selama ini pun dia hentam kerajaan negeri, tuduh kerajaan negeri dengan pelbagai tuduhan tapi beliau juga ada skandal yang perlu disiasat oleh SPRM,” dakwanya Syed Rosli.

Malaysiakini juga menghantar pesanan WhatsApp bagi mendapatkan respon Noh berhubung dakwaan tersebut dan sedang menunggu maklum balas daripada pengerusi perhubungan Umno Selangor itu.

Ng lima tahun lalu mendakwa Noh terlibat dalam konflik kepentingan apabila didakwa membuat persetujuan membabitkan satu perusahaan ternakan udang.

Pengarah syarikat Pristine Agrofood Chu Bak Tec berkata Noh tidak terlibat dalam perusahaan berkenaan dan beliau hanya merupakan pemilik tanah.

Isu itu ditimbulkan dalam Dewan Undangan Negeri (ADUN). Wakil BN Sulaiman Abdul Razak berkata Noh mendapat tanah itu sebelum menjadi anggota parlimen lagi.

Beliau juga berkata tiada sebarang salah laku dalam isu itu.

Dalam isu tender padi, dua orang petani tampil membuat laporan polis pada Oktober 2012 kerana mengesyaki wujud salah guna kuasa dan penyelewengan dalam proses agihannya bagi tahun 2013 hingga 2014.

Noh bagaimanapun berkata isu kuota itu cuba dipolitikkan oleh pembangkang “seolah-olah pemberian kuota mementingkan kroni semata-mata”.

Sambil menafikan dakwaan itu, Noh berkata, kementerian sebenarnya memberikan peluang kepada syarikat berminat walaupun tarikh tender telah tamat dan ekoran daripada kelonggaran tersebut, 10 syarikat diberikan peluang.

Syed Rosli terkena sebagai seorang pemimpin akar umbi Umno yang lantang terhadap kepimpinan partinya dan pernah mencetuskan kontroversi mahu bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil.

– M’kini

.