‘LEMBU PUNYA SUSU, SAPI DAPAT NAMA’

SHAH ALAM – Umpama ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’, itu gambaran paling sesuai terhadap pembangkang yang menguasai Selangor sejak PRU 2008.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib berkata,  pembangkang yang sebenarnya bersenang-lenang atas usaha dilakukan BN ketika masih memerintah Selangor sebelum ini.

“Pembangkang, pakatan rakyat tak pamer prestasi, mereka tak buat apa pun sejak kita isytiharkan Selangor negeri maju.

“Daripada 2008 (sejak pembangkang menang PRU 2008) hingga 2017, mereka tak buat apa-apa, cuba namakan saya, hospital, jalan raya, fasiliti, siapa yang buat? Semuanya daripada BN,” katanya ketika ditemui ketika majlis Mesra Media Bersama Tan Sri Mat Taib, di Umno Selangor, di sini, hari ini.

Muhammad yang lebih dikenali sebagai Mat Taib berkata, beliau turut melempar sindiran terhadap usaha kerajaan Selangor kepada rakyat di negeri tersebut.

“Awak (pembangkang) macam lembu punya susu sapi dapat nama, semua yang berlaku di Selangor adalah kerja orang lama.

“Awak pula buat apa? Hanya bagi bas percuma, lepas tu buat kempen peduli sana sikit sini sikit,” katanya.

Beliau turut berharap rakyat tidak lagi tertipu dengan permainan pembangkang kini.

“Dalam dunia ini, tak ada parti yang boleh menang pilihan raya hanya kerana sediakan bas percuma. Tapi di Selangor ini kadang-kadang orang mudah tertipu,” katanya.

– Sinar Harian

.