LEMBAGA PENGARAH FFGV HARUS SEGERA LETAK JAWATAN

Kembalinya Zakaria Arshad sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures atau FGV setelah digantung jawatan selama empat bulan, dengan sendirinya memberi erti kedudukan Lembaga Pengarah syarikat itu langsung tidak dihormati.
Berdasarkan kenyataan FGV semalam, Zakaria dikembalikan ke jawatan asalnya bermula 16 Oktober ini, jika difahami adalah semata-mata atas keputusan Kementerian Kewangan yang merupakan pemegang saham khas FGV. Menteri Kewangan ialah Najib Razak.
Zakaria sebelum ini digantung jawatannya oleh Lembaga Pengarah FGV yang ketika itu dipengerusikan oleh Isa Samad untuk menyiasat  dakwaan penyelewengan dan  perlanggaran prosedur tertentu melibatkannya dalam urusniaga antara Delima Oil, anak syarikat FGV dengan Safitex, sebuah syarikat berpangkalan di Afghanistan.
Berikutan penggantungan itu, Zakaria kemudian dihadapkan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman di mana difahamkan terdapat lima pertuduhan dikenakan kepadanya.
Sebaik digantung, sebagai tindak balasnya, Zakaria segera membuat laporan kepada SPRM berkaitan dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan Isa. Beliau juga mengumumkan tidak mungkin dapat bekerjasama lagi dengan Isa dalam FGV.
Dalam langkah segera untuk meredakan keadaan, sementara Zakaria digantung jawatan,  Najib kemudian memindahkan Isa daripada FGV ke SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dengan sementara ini diberikan jawatan Pemangku Pengerusi.
Tempat Isa di FGV selepas itu dipangku sementara oleh Sulaiman Mahbob dan 8 September lalu diisi oleh Azhar Abdul Hamid.
Isa juga kemudian disiasat dan direman selama lima hari oleh SPRM berhubung pembelian hotel di London dan Sarawak.
Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada Isa akan didakwa dalam waktu terdekat ini atau dilepaskan begitu saja.
Dalam siasatan audit dalaman terhadap Zakaria, difahamkan beliau didapati bersalah lebih tiga daripada lima pertuduhan yang dikenakan kepadanya.
Dalam kenyataan oleh FGV semalam, ia memaklumkan hasil dapatan siasatan dalaman itu sudah pun dihantar kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan).
“Selepas mengambil kira transformasi FGV dan komitmen serta jaminan Zakaria untuk menyelesaikan hutang lama Safitex, Menteri Kewangan mahu beliau kembali bertugas sebagai Presiden Kumpulan dan CEO FGV,” demikian antara petikan kenyataan tersebut.
Bermakna, keputusan mengembalikan semula Zakaria ke jawatan asalnya adalah semata-mata kerana kehendak dan keputusan Menteri Kewangan dan bersandarkan jaminan Zakaria untuk mendapatkan semula hutang-hutang tertunggaknya selama ini.
Dengan sendirinya juga bererti hasil dan dapatan siasatan audit dalaman telah diketepikan begitu saja.
Soalnya, kenapa hasil siasatan audit dalaman yang dibentuk atas keputusan Lembaga Pengarah FGV tidak diumumkan, walau sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan?
Adakah Lembaga Pengarah FGV masih dihormati oleh Kementerian Kewangan?
Apakah jaminan daripada Zakaria untuk menyelesaikan hutang-hutang FGV itu boleh dipercayai dan beliau benar-benar mampu melaksanakannya?
Bagaimana jika ia gagal dilaksanakan?
Tidakkah yang rugi para peneroka Felda juga akhirnya?
Namun, dengan keputusan mengekalkan Zakaria semata-mata atas kehendak Kementerian Kewangan dan mengenepikan hasil siasatan dalaman,  kedudukan Lembaga Pengarah FGV yang antaranya terdiri daripada kalangan profesional, wakil Kementerian Kewangan dan Bank Negara, jelas tidak lagi dihormati  fungsi dan peranannya oleh Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan sendiri.

Apa lagi…lebih baik letak jawatanlah bro!!

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.