LELAKI TUNTUT BAYARAN BALIK DARIPADA BOMOH

JOHOR BAHRU: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ditubuhkan untuk membolehkan pengguna memfailkan tuntutan dengan cara yang cepat dan murah. Tetapi, siapa sangka tribunal ini telah berdepan dengan beberapa kes yang ganjil.

Salah satu daripadanya adalah kes di mana seorang lelaki membuat aduan tentang seorang bomoh yang dikatakan tidak menunaikan janjinya untuk menghalau roh yang menghantui bapanya.

Pengadu berusia 40 tahun itu meminta bantuan tribunal kerana mahu menuntut bayaran balik daripada bomoh berkenaan.

Bomoh itu mendakwa bapanya yang berusia 70-an itu telah diganggu oleh sembilan roh yang berbeza.

 

 

“Bomoh itu mengenakan bayaran RM90 setiap kali dia pergi ‘menghalau hantu’ bagi membebaskan bapanya daripada gangguan roh yang didakwa.

“Jadi, keluarganya telah membelanjakan sebanyak RM810 untuk bomoh itu menghilangkan kesemua sembilan roh,” kata ketua tribunal Johor, Samuel Mut John Brody dalam satu wawancara.

Samuel berkata, bomoh itu gagal menyembuhkan bapa lelaki berkenaan walaupun selepas sembilan kali rawatan.

“Lelaki itu berkata, keadaan bapanya semakin teruk dan dia akhirnya meninggal dunia beberapa bulan kemudian.”

Keluarga itu membawa perkara ini kepada tribunal, memohon bayaran balik untuk ‘perkhidmatan yang tidak disampaikan’.

Tribunal terpaksa membatalkan kes ini kerana ia adalah di luar bidang kuasanya.

Samuel menjelaskan bahawa ‘menghalau hantu’ dianggap sebagai perkhidmatan alternatif dan bomoh itu juga tidak mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Samuel berkata tribunal mencatatkan peningkatan bilangan daripada mereka yang membuat tuntutan ganjil.

Sebagai contoh, beliau berkata sebelum ini terdapat beberapa kes melibatkan mereka yang mencari pasangan.

Seseorang telah membuat tuntutan paling rendah yang pernah direkodkan dalam sejarah tribunal iaitu 10 sen, bagi kes berkaitan perkhidmatan kereta pada tahun lepas.

Pada bulan Mei tahun ini, seorang wanita berusia 40-an, mahu menuntut bayaran balik daripada penyiasat persendirian yang diupahnya pada kadar RM1,500 untuk mencari suaminya yang hilang.

Beliau mendakwa penyiasat itu bukan sahaja tidak dapat mengesan suaminya, malah lesap dengan wang yang telah dibayar kepadanya.

Samuel berkata kes itu tidak boleh didengar oleh tribunal kerana penyiasat persendirian itu gagal memberi tindak balas terhadap notis untuk hadir perbicaraan.

Dia juga tidak berdaftar dengan SSM.

Tribunal terpaksa menapis kes-kes yang diterima untuk mengelakkan daripada berdepan kes yang berada di luar bidang kuasanya.

Beliau menggesa pengguna untuk menyemak nombor pendaftaran syarikat peniaga, dokumen pengenalan diri, nama penuh dan butiran lain sebelum membeli barangan atau perkhidmatan untuk mengelakkan diri daripada ditipu.

Pengguna boleh menuntut hak mereka apabila mereka mendapati mereka telah menerima perkhidmatan yang tidak setimpal daripada penjual atau pembekal perkhidmatan, katanya.

– Mstar

.