Lelaki Syria tinggalkan bom tangan di hotel di Port Dickson

PORT DICKSON – Objek disyaki bom tangan ditemui pekerja sebuah hotel di Batu 5 Port Dickson Jalan Pantai ketika sedang mengemas salah sebuah bilik hotel itu sekitar jam 1200 tengah hari tadi.‎

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati bilik berkenaan disewa oleh seorang lelaki warga Syria bersama keluarganya.

“Dia menyewa dua bilik dan dipercayai menggunakan kenderaan jenis Proton Saga BLM berwarna hitam,” katanya.

‎Menurutnya, suspek didapati keluar dari hotel selepas menginap selama satu malam.

“Sekitar jam 12 tengah hari suspek keluar dan pada masa yang sama pekerja hotel telah masuk ke dalam bilik bagi tujuan untuk mengemas bilik tersebut. Semasa pekerja tersebut mengangkat tilam telah ternampak sebuah objek yang disyaki bom tangan dan terus memaklumkan kepada pihak pengurusan hotel.

“Pada masa itu juga, suspek kembali semula ke bilik hotel dan terus mengambil semula objek yang disyaki bom tangan tersebut lalu beredar dari hotel tersebut dengan pantas,” katanya.

Adzli berkata, siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah dilakukan dan operasi mengesan suspek kini giat dilakukan.

“Polis mengambil langkah berjaga-jaga bimbang ia mempunyai hubungan dengan kegiatan Daesh,” katanya lagi. – SH

.