LELAKI LANGGAR PAGAR RUMAH PEMIMPIN POLITIK

KAJANG – Seorang pekerja premis kenderaan terpakai diberkas kerana dipercayai merempuh pagar kediaman ketua bahagian sebuah parti politik di Bandar Mahkota Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai memandu sebuah kereta jenis Audi dan melanggar pagar rumah ahli politik berkenaan, kira-kira jam 5 petang.

“Kereta Audi itu telah memasuki ke dalam kawasan parkir rumah dan melanggar kereta Audi milik mangsa. Suspek kemudian meninggalkan lokasi kejadian, kemudian dia datang semula dengan memandu kereta jenis Nissan Fairlady dan parkir di tepi jalan berhampiran rumah tersebut.

“Suspek kemudian dipercayai melarikan diri dengan menaiki teksi, walau bagaimanapun kita berjaya memberkas suspek sekitar Kajang,” katanya.

Menurutnya, semakan terhadap kedua-dua kenderaan itu mendapati ia tidak mempunyai sebarang rekod hilang tetapi cukai jalan tamat tempoh.

“Kita juga mendapati empat cap jari di pintu kereta jenis Audi yang dipandu suspek. Kita turut merampas kedua-dua kenderaan tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis  methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447/427 Kanun Keseksaan.

– Sinar Harian

.