Leiking nafi bayar atau terima RM5j tinggalkan PKR

Anggota parlimen Penampang Darell Leiking menafikan dakwaan bahawa dia membayar atau menerima RM5 juta untuk meninggalkan PKR.

“Saya menafikan semua tuduhan itu dan saya mencabar penyebar khabar angin itu supaya menunjukkan bukti,” kata Leiking kepada Malaysiakini.

Leiking kelmarin mengumumkan keluar dari PKR untuk bekerjasama dengan bekas naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dalam sebuah “platform Sabah” yang anti-BN.

Beliau juga hadir ke pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya bersama Shafie dalam usaha mereka mengambil alih sebuah parti sedia ada di Sabah.

Kata Leiking beliau tertanya-tanya bagaimana tuduhan tersebut boleh tersebar.

“Saya mencabar sayangsabah.com menunjukkan bukti dan bersedia menjelaskan (dakwaan berkenaan),” katanya merujuk kepada sebuah portal yang mendakwa seseorang wakil rakyat PKR mesti membayar RM5 juta jika keluar dari parti berkenaan.

Portal itu memetik bekas orang kuat PKR Badrul Hisham Shaharin yang membuat kenyataan di Facebook kelmarin, bagaimana PKR pernah menyatakan bahawa ADUN dan ahli Parlimennya perlu membayar RM5 juta jika mereka meninggalkan parti..

“Hari ini seorang lagi melompat parti. Berapa banyak dipungut PKR sejak pilihan raya umum ke-13?” soalnya yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard. – M’kini

.