LEGASI MAHATHIR, LEGASI NAJIB

Barangkali masih ramai yang keliru mengenai masalah sebenar yang dihadapi negara. Bagi penyokong UMNO dan Najib Razak, daripada yang dapat dedak secara bulanan atau sekali-sekala sehinggalah kepada pemimpin yang diberikan habuan jawatan, kontrak atau kedudukan, mereka nampaknya lebih cenderung untuk melihat Tun Mahathir Mohamad sebagai punca segala-galanya.

Seolah-olah jika Tun Mahathir berdiam diri dan tidak berkata apa-apa, malah menyokong semua langkah dan perbuatan Najib Razak, seluruh rakyat akan menikmati kehidupan yang lebih baik dan bahagia.

Benarkah begitu?

Bagi mereka yang waras dan berfikir dengan jujur, agak memualkan sebenarnya apabila Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa menyarankan agar Najib Razak berani merombak beberapa legasi Tun Mahathir yang dianggapnya memberi kesan negatif kepada rakyat.

Beliau mengambil contoh penswastaan lebuhraya yang ditandatangani di zaman Tun Mahathir yang mensyaratkan kenaikan tol dalam tempoh tertentu dan pengurusan sisa pepejal yang membebankan pihak berkuasa tempatan, sebagai contoh legasi negatif yang perlu dirombak oleh Najib.

Benarkah legasi Tun Mahathir yang menjadi masalah atau legasi itu merupakan masalah kerana Tun Mahathir begitu lantang mahu menyingkirkan Najib?

Dalam kes kenaikan tol misalnya, kenapa ia tidak menimbulkan banyak rungutan dan bantahan daripada orangramai ketika Tun Mahathir sedang berkuasa, sebaliknya hanya sekarang ia menjadi masalah?

Tidakkah ini menunjukkan yang menjadi masalah bukan disebabkan kenaikan tol yang merupakan tinggalan Tun Mahathir itu, tetapi kerana pendapatan dan kuasa beli rakyat yang makin mengecil?

Mengapa, selain beberapa kenaikan kos sara hidup, rakyat sekarang ini semakin sukar memperolehi wang berbanding sebelumnya?

Adakah dengan merombak legasi Tun Mahathir, tetapi membiarkan Najib terus kekal, mampu mendatangkan banyak kebaikan dan memulihkan keadaan dalam negara?

Antara Tun Mahathir dan Najib, siapa yang lebih tidak diperlukan oleh kita semua?

Tanpa huraian panjang pun, jika dibandingkan antara legasi Tun Mahathir dengan pelbagai karenah dalam kepimpinan Najib, kita dengan mudah mendapat jawapan siapa yang sebenarnya menyusahkan kita semua.

Bukan Tun Mahathir yang banyak legasi atau Pak Lah yang tiada legasi yang menjadi masalah kita, tetapi beban kita ialah Najib yang tidak boleh lagi dibersihkan atau dicuci kekotorannya.

Bayangkan bagaimana Perdana Menteri akan datang menanggung legasi Najib yang turut dikaitkan dengan Rosmah, Jho Low, 1MDB, pembaziran, kemewahan dan bermacam-macam lagi.

–¬†shahbudindotcom.blogspot.my