LEBIH BANYAK DIALOG PAS, KUMPULAN LIBERAL

PAS akan mengadakan lebih banyak dialog dengan golongan liberal yang sering mengkritik mereka, kata seorang pemimpin kanan parti berkenaan.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua pihak perlu akur bahawa sebagai seorang Islam, terdapat prinsip yang perlu mereka nyatakan.

“Kita boleh toleransi dalam perkara yang tidak bercanggah dengan prinsip.

“Tapi kalau soal lesbian, gay, transgender dan transeksual (LGBT) sudah tentu bercanggah dengan Islam.

“Jadi kita tidak boleh pertahan nilai yang tidak bermoral. Tak ada orang menganggap benda itu (LGBT) bermoral,” katanya pada sesi soal jawab ketika majlis berbuka puasa PAS Pusat di Rabbani Lamb House, Kuala Lumpur malam ini.

Tuan Ibrahim yang kini memangku jawatan presiden PAS berkata demikian ketika diminita mengulas cara parti itu mahu menangani golongan liberal yang sering mengkritik PAS.

Kecaman itu muncul apabila PAS menyuarakan pendapat mereka terutama berkenaan Islam seperti isu LGBT, cadangan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya mengakui hak kebebasan itu bukan bermakna seseorang boleh melanggar prinsip.

“Saya ingat di Malaysia kita kena tegas dengan prinsip, kalau prinsip itu terlanggar, akan rosak negara,” katanya.

Tuan Ibrahim dalam masa yang sama turut berkata, pihaknya melihat dua perkara mengenai golongan liberal.

“Pertama sekali kefahaman. Yang kedua, kita akui golongan liberal ini ada rangkaian dia. Rangkaian dia memang ada kaitan dengan pihak-pihak luar pun yang menaja, yang menggerakkan,” katanya.

– M’kini

.