LEBIH 100 BAJU MERAH DI PEJABAT MALAYSIAKINI

Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengetuai kira-kira 100 orang hadir di pejabat Malaysiakini hari ini.

Kumpulan itu, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia, melaungkan ‘Merah, Merah’ dan ‘Hancur Soros’.

Jamal dan beberapa wakil gerakan ‘baju merah’ kemudiannya dibenarkan masuk ke premis Malaysiakini.

Beliau bertemu dengan ketua pengarang kumpulan Malaysiakini Steven Gan dan dua editor kanan, RK Anand dan Jimadie Shah Othman.

Turut hadir adalah anggota polis.

Pada pertemuan itu, Jamal melahirkan bantahan terhadap Malaysiakini yang menerima bantuan antarabangsa daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan oleh George Soros.

“Saya beri tempoh sehingga jam 12 tengah hari Sabtu ini untuk kami mendapatkan penjelasan daripada  mana Malaysiakini ini dapat beroperasi.

“Kalau tak kami NGO seluruh negara akan membuat protes besar-besaran di sini. Sekurang-kurangnya 20 ribu orang akan turun ke sini.

“Dan kita akan pastikan sebahagian bangunan ini akan runtuh pada 5 November ini,” katanya.

Apabila diminta apa yang dimaksudkannya, Jamal berkata terpulang kepada tafsiran Malaysiakini.

MKINI

.