LAYAKKAH MAHATHIR JADI PM SEMULA?

Salah satu keindahan demokrasi adalah penyertaan (participation) dari segi pandangan dan aksi dari semua pihak dalam proses melahirkan kerajaan baru melalui pilihanraya.

Proses ini amat bermakna kerana melalui perbincangan dan perbahasan rakyat jelata dapat menimbang pandangan dari pelbagai pihak dan mengubahsuai pandangan sendiri mahupun bergabung dengan orang bersependapat untuk meningkatkan pengaruh mereka sebelum membuang undi.

Proses ini tidak patut berhenti setakat penjemahan suara majoriti. Jika kita berhenti di situ, ini bermakna kita sekadar menerima realiti masyarakat dan membiarkan golongan majoriti membuat pilihan untuk kita.

Ia juga bermakna kita melepaskan peluang untuk bersuara dan mempengaruhi arus fikiran perdana untuk membawa perubahan yang lebih bermakna.

Atas alasan ini, saya ingin memberikan pandangan saya tentang pemilihan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai interim perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan dan sekaligus membalas hujahan saudara Wan Hamidi amid dalam artikel ‘Jika tak suka Dr Mahathir, siapa patut jadi calon PM?’

Label idealis atau realis tidak membantu dalam perbincangan. Yakni kita perlukan kedua-dua elemen ini dalam politik.

Tiada aspirasi, kita seumpama kapal hilang kompas di lautan, akhirnya mungkin kita tidak sampai ke mana-mana; Tidak menimbang keadaan sebenar, kita bagaikan anak kapal bercita-cita merentasi lautan Pasifik tetapi tidak mengambil peduli keadaan kapal.

Namun garisan realiti dengan idealistik kadang-kadang bukan begitu jelas dan bergantung kepada interpretasi. Wan Hamidi telah meringkaskan aspirasi ramai anak Malaysia yang inginkan perubahan seperti berikut, “Kita perlu satu usaha tegas untuk merungkai masalah politik rasis yang semakin parah yang merenggangkan hubungan antara kaum dan agama. Kita perlu kepada kebebasan berfikir dan bersuara tanpa ancaman undang-undang zalim…”

Bersifat perkauman

Namun, soalan saya, kalau matlamat akhir kita ialah mencapai cita-cita ini, adakah pemilihan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai interim Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan itu suatu langkah realistik?

Kalau matlamat penukaran kerajaan adalah reformasi institusi, bukankah mana-mana reformis yang berjuang bersama rakyat selama ini calon PM yang lebih menyakinkan?

Saya tidak berniat menghuraikan rekod hitam Mahathir secara panjang lebar. Sememangnya Mahathir telah merosakkan keagungan institusi kehakiman negara, mencabur kebebasan dan hak asasi rakyat dengan undang-undang zalim, lagipun “menginstitusikan” kronisme melalui saluran Umno.

Untuk huraian terperinci, kita boleh merujuk kepada buku Malaysian Maverick yang ditulis oleh bekas wartawan mendiang Barry Wain. Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau anda boleh terima Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenapa tidak boleh memberi peluang kepada Mahathir yang kini sudah insaf?

Pertama sekali, pendekatan, pengalaman dan tahap konsistensi kedua-dua tokoh ini amat berbeza. Anwar menaungkan gerakan Reformasi yang menentang nepotisme dan kronisme sejurus selepas beliau dipecat oleh Mahathir pada tahun 1998, kemudian di bawah pimpinan Wan Azizah Ismail dan aktivis Reformasi, PKR yang berjuang untuk keadilan semua rakyat tidak kira kaum dan agama ditubuhkan.

Berbeza dengan Anwar, selepas gagal menumpangkan Najib dalam parti, Mahathir keluar Umno dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bersifat perkauman.

Mahathir belum insaf

Walaupun ada juga prinsip-prinsip asas parti tersebut yang bersifat progresif seperti menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memelihara hak asasi manusia dan lain-lain, agenda BERSATU utama masih kedudukan istimewa satu-satu kaum. Ia jelas bertentangan dengan prinsip asas gerakan Reformasi.

Lagipun, padahal Mahathir selaku penasihat parti pun tidak mengerti prinsip-prinsip asas tersebut.

Misalnya, apabila ditanya di suatu forum samada beliau akan mengulangi Operasi Lalang pada hari ini, jawapan beliau adalah beliau akan menahan mereka di bawah ISA juga jikalau situasi hari ini sama seperti dulu, di mana beliau diberitahu jika penangkapan tidak dilakukan, rusuhan dan pembunuhan akan berlaku.

Adakah beliau telah insaf? Jelas tidak. Bagaimana kita yakin bahawa beliau akan membawa perubahan jikalau beliau tidak mengakui kesilapan lampau, malah sanggup meletakkan tanggungjawab Operasi Lalang kepada orang bawahan, lagi bersedia mengulangi kesalahan tersebut?

Jikalau penjelasan Mahathir di forum tersebut boleh diterima, apatah kita pasti bahawa beliau tidak akan menyalahgunakan undang-undang sekali lagi dan menahan reformis jati jikalau beliau kembali menjadi PM?

Keyakinan kita terhadap seseorang itu bukan seperti durian runtuh, ia pasti ada asas dan sejarahnya. Sokongan mantap kepada Anwar bukan datang dengan sewenang-wenangnya.

Beliau telah melalui pelbagai ujian dan cabaran sepanjang perjalanan ini.

Ramai di kalangan pejuang pendidikan Cina ragu-ragu tentang keikhlasan beliau untuk membawa keadilan kerana beliau pernah mengambil tindakan menghantar guru yang tidak faham Bahasa Cina untuk menduduki barisan esekutif di sekolah-sekolah rendah Cina semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan pada 1980-an.

Selepas beliau keluar dari penjara pada tahun 2004, beliau terpaksa juga menjawab soalan-soalan tentang kesilapan lampaunya. Dalam hampir sepuluh tahun yang lalu, beliau telah berusaha untuk memikat hati pelbagai kaum dengan aspirasi Politik Baru yang menjanjikan keadilan untuk semua.

Kalau beliau kini berjaya mendapat sokongan dari pelbagai kaum, ia rezeki beliau atas kesungguhan dan pengorbanan beliau sendiri. Sebaliknya, Mahathir baru meninggalkan Umno pada tahun lepas.

Beliau tidak pernah menghadapi ujian sepertimana kegagalan PKR dalam pilihanraya tahun 2004 sehingga tinggal hanya satu kerusi parlimen. Kita bukan yakin pun beliau akan kekal berjuang sebagai pembangkang selepas PRU-14, apakah asas Pakatan Harapan memberi kepercayaan kepada beliau untuk memimpin Pakatan Harapan?

Ada di kalangan reformis yang kata, kita perlu menggabungkan segala kekuatan untuk menumpangkan BN.

Bukan calon terbaik

Saya setuju bahawa dalam politik kompromi itu memang ada, tiada masalah untuk memberi ruang kepada beliau untuk berjuang sebagai pembangkang, tetapi untuk beliau memimpin gerakan reformasi, bukankah itu sudah keterlaluan, seumpama tetamu sudah menjadi tuan rumah?

Wan Hamidi bertanya, jika bukan Mahathir, siapa lagi? Apa kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sudah berpengelaman memerintah negeri Selangor atau Nurul Izzah Anwar yang dapat mendukung aspirasi pemuda-pemudi?

Mereka mungkin bukan calon terbaik, tapi kita perlu menerima realiti bahawa dunia ini tiada orang sempurna, apatah lagi pemimpin politik yang sempurna. Kalau Mahathir pun boleh diterima sebagai calon PM, maka Azmin atau Nurul atau mana-mana pemimpin reformis adalah calon yang lebih layak.

Sekurang-kurangnya mereka tetap bersama dengan rakyat selama ini walaupun timbulnya pelbagai cabaran. Berbanding dengan Mahathir yang telah berulang kali keluar dan masuk Umno, sekurang-kurangnya kita hampir yakin bahawa mereka tidak akan memeluk Umno jika diberi kebaikan.

Sememangnya, memerintah sesebuah kerajaan dan memimpin sesebuah parti pembangkang adalah ujian yang berbeza kerana sejarah telah membuktikan bahawa kuasa bakal meruntuhkan akhlak seseorang.

Ketaatan rakyat patut diletak pada prinsip dan bukan pemimpin. Tidak kira siapa yang naik ke atas tangga pemerintahan, dia tetap perlu disemak dan dipantau. Pada pandangan saya, adalah lebih mudah untuk kita menyemak muka baru daripada Mahathir yang telah sangat berpengalaman untuk memanipulasi segala institusi.

Selain itu, adakah Pakatan Harapan yakin bahawa pelan penyerahan kuasa kepada Anwar akan bergerak mengikut rancangan jikalau Mahathir naik jadi PM? Adakah mereka pasti bahawa Mahathir tidak akan kembali ke Umno atau memantapkan kuasanya dengan mendapat sokongan dari ahli-ahli parlimen Umno selepas Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya?

Jika senario pertama berlaku, perjuangan pembangkang akan menerima tamparan besar. Ia memerlukan masa panjang untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat. Jika senario kedua berlaku, sudah pasti warna Reformasi Pakatan Harapan akan pudar dan gerakan Reformasi mungkin akan berakhir dengan sedih sekali — klon Umno dihasilkan selepas 20 tahun.

Datuk Seri Najib Razak telah menunjuk kepada kita betapa besar kuasa PM dan begitu susah untuk menurunkan PM. Jika PM Malaysia enggan turun tangga, tiada mekanisme boleh menurunkannya.

Mungkin berpaling tadah

Selepas mencapai kuasa, Mahathir boleh mendapat sokongan dari ahli-ahli parlimen dari Umno dan parti-parti Barisan Nasional lain untuk terus kekal berkuasa dan mengangkat anaknya ke kerusi tertinggi. Adakah Pakatan Harapan pasti keadaan ini tidak akan berlaku?

Apa mekanisme yang dirancangkan untuk memastikan penyerahan kuasa akan berlaku? Pakatan Harapan tidak pernah memberikan huraian tentang bad ini. Mereka mungkin bertarung di atas usia lanjut Mahathir. Kalau begitu, kita kini bergandung kepada ketidaktentuan untuk menentukan nasib kita.

Risiko memilih Mahathir sebagai calon PM memang tinggi. Ini juga realiti, tetapi ini realiti yang dipandang ringgan oleh barisan pimpinan Pakatan Harapan. Kenapa Pakatan Harapan sanggup mengambil risiko ini daripada menerima pimpinan reformis di kalangan mereka?

Pada PRU-13, pertarungan di antara pembangkang dengan BN di PRU-14 dilihat sebagai perlawanan di antara rakyat dan rejim zalim; atau di antara politik baru dan politik lama. Tetapi kini garisan ini telah kabur.

Ramai rakyat biasa yang telah mengambil pelbagai inisiatif untuk berkempen untuk Pakatan Rakyat kini sudah hilang suara mereka kerana kegeliruan yang timbul. Jikalau Mahathir betul-betul dinamakan sebagai PM Pakatan Harapan, pertarungan di PRU-14 akan dilihat sebagai pertarungan di antara Najib dan Mahathir.

Jikalau Pakatan Harapan menang pun, kemenangan itu akan juga ditafsir sebagai sokongan rakyat terhadap Mahathir. Bagi ramai rakyat Malaysia yang pernah berusaha untuk mencapai demokrasi sebenar, perkembangan ini amat mengecewakan.

Ada di kalangan penyokong Pakatan Harapan meminta semua pihak melihat kepada ‘gambaran besar’ (big picture), tetapi kalau big picture Pakatan Harapan adalah sekadar menumpangkan kerajaan Najib, maka ia berbeza dengan big picture segelintir rakyat yang juga mementingkan reformasi institusi selain penukaran kerajaan.

Kian lama kita membisu dan membiarkan parti politik untuk membuat pilihan untuk kita. Laungan ‘rakyat adalah bos’ (People are the bosses) sudah tidak kedengaran. Fokus media setiap hari adalah Mahathir sehingga beliau pergi ke cinema untuk menonton Star War pun diberi liputan.

Nampaknya PRU-14 sudah menjadi gelanggang pertarungan Mahathir dan Najib, peranan individu biasa sudah pudar. Ini hasil daripada pilihan strategi Pakatan Harapan.

Selama ini apa yg menjayakan pembangkang adalah harapan atau gambaran idealistik yang ditawarkan. Dalam sepuluh tahun yang lalu, rakyat Malaysia telah mencipta sejarah walaupun majoriti rakyat dianggap amat konservatif.

Apa yang dilihat idealistik sebelum ini kini sudah menjadi realiti. Ini membuktikan bahawa agenda Reformasi mampu mendapat sambutan jikalau rakyat lebih terdedah kepada informasi benar.

Daripada bergantung kepada lambang politik lama untuk menerajui PRU, adalah lebih realistik bagi Pakatan Harapan agar mendengar teguran rakyat dan menggerakkan agenda Reformasi di kedua-dua negeri Pakatan Harapan untuk memarakkan semula api di hati rakyat.

CHAN WEI SEE adalah seorang bekas wartawan, yang sedang melanjutkan pengajian di UK.

– M’kini

.