LATIF BANDI LETAK JAWATAN EXCO JOHOR

Datuk Abd Latif Bandi hari ini meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Johor, selepas mengaku tidak bersalah dalam kes rasuahnya semalam.

Mengumumkan keputusannya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya, beliau turut merakamkan penghargaannya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran.

Peguamnya berkata dengan bantuan keluarga dan penyokongnya, Abd Latif hari ini berjaya mengumpulkan wang RM2 juta untuk membayar ikat jamin dan dibebaskan.
Abd Latif, 51 dikenakan jaminan RM2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Baru semalam atas pertuduhan terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta antara tahun 2013 dan tahun lalu.

ADUN Endau itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah tersebut sementara perunding hartanah itu membuat pengakuan sama terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah.

Bagaimanapun, sehingga habis waktu pejabat, Abd Latif gagal membayar wang jaminan itu kerana akaun banknya telah dibekukan dan beliau kemudian dihantar ke Penjara Reman Ulu Choh sementara Amir Shariffuddin dibebaskan pada sebelah tengah hari setelah menjelaskan wang jaminannya.

– M’kini