LASKAR SIBER UMNO HAMBAR

MACAM saya catatkan secara ringkas dalam tampalan Facebook saya pada 23 Januari, saya tahu majoriti laskar siber (cybertrooper) dan penggiat media sosial tidak menyokong kerajaan sebaliknya menentang.

Tetapi saya tidaklah menjangka penentangan itu seteruk yang Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dedahkan ketika berucap di Majlis Perasmian Skuad Penerangan dan Media Wanita Umno di Kuala Lumpur pada 22 Januari.

Dalam pendedahan itu, Zahid, antara lain, berkata berdasarkan kajian hanya 6.6 peratus laskar siber mempertahankan agenda pentadbiran kerajaan manakala 93.4 peratus menentang.

Ikhlas saya katakan saya terkejut dengan tahap sokongan yang begitu rendah kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak.

Walaupun saya tahu sokongan kepada Najib, Umno dan Barisan Nasional tidak hebat dalam media sosial dan media atas talian, tetapi saya tidaklah menyangka tahapnya begitu hambar.

Saya ikuti percakaran dan maki-hamun di kalangan penggiat media sosial pro-Umno di ruang Facebook. Istilah seperti pemakan dedak, pengampu, penjilat dan anjing adalah biasa bagi mereka.

Sekarang fahamlah saya mengapa dalam Persidangan Agung Umno 2014 Najib melabelkan blogger dan penggiat media sosial Umno bangang.

Apabila saya membaca tampalan orang kanan Ahmad Zahid, (Datuk) Ibrahim Yahya, dalam ruang Facebook beliau mengenai sumber yang dipetik oleh Ahmad Zahid itu, saya menjadi lebih yakin bahawa sokongan media sosial kepada Najib memang cukup teruk.

Menurut Ibrahim yang memakai nama samaran Diy Putera dalam laman Facebook itu, sumber maklumat yang Ahmad Zahid petik adalah sebuah kajian yang diketuai oleh Profesor (Datuk Seri) Dr Syed Arabi Idid.

Dalam catatan Facebooknya, Ibrahim, antara lain berkata (tanpa suntingan):

“Kajian empirikal ini telah diketuai oleh Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, seorang pakar bidang komunikasi di Malaysia dan banyak menulis buku-buku ilmiah berbahasa Melayu dan Inggeris yang menjadi rujukan pelajar komunikasi di negara ini. Dr Syed Arabi membuat kajian bukan saja apa yang berlaku di dalam negeri malah di luar negara.

“Objektif kajian dilaksanakan bagi menilai peranan pemain media sosial berunsur politik dalam mempengaruhi netizen pasca PRU ke-13. Berdasarkan kajian yang dibuat terhadap netizen di media sosial, mendapati netizen lebih mempercayai saluran media sosial berbanding media konvensional.

“Ini berdasarkan lebih 2,000 netizen yang aktif dalam facebook dan twitter sebagai responden. Faktornya kerana media sosial lebih cepat menyampaikan maklumat dan lebih mudah diperolehi.

“Penemuan menunjukkan pengaruh televisyen menurun dari 42 % pada 2015 menjadi 39% pada 2016. Bagitu juga bagi pembacaan akhbar menurun dari 30 % ke 25 % dan radio dari 25% pada 2015 ke 21 % pada 2016. Walaubagaimana pun kepercayaan terhadap internet meningkat dari 50 % pada Disember 2015 menjadi 69 % pada Ogos 2016. Pada hakikatnya, media sosial adalah satu fenomena bandar yang sangat pesat berkembang.

“Sementara, kajian ini juga telah menilai peranan dan daya kekonsistenan atau daya pengekalan pemain media sosial berunsur politik dalam arus media sosial pasca PRU ke-13.

“Kajian mendapati nisbah 1 blogger @ facebooker pro-UMNO berlawan dengan 15 blogger @ facebooker anti-UMNO (Pembangkang). Ini bermakna ratio 1 nisbah 15.

“Dalam bentuk figura peratusan pula, kajian menemui hanya 6.6 % ‘cybertroopers’ pro-kerajaan yang masih aktif atau cergas berbanding 93.4 % ‘cybertroopers’ Pembangkang dikoordinasi dengan strategik dan berkesan dalam media sosial. Mereka bergerak di segenap pelusuk maya. Membuat provokasi dan melaga-lagakan pemimpin kerajaan.

“Kajian mendapati dalam suatu proses perkembangan media sosial di Malaysia, ia membangun secara konstruktif ibarat geraf inverted parabola (bermula dari bawah dan melonjak ke tahap tinggi kemudian menurun ke bawah kembali).”

Saya tidak perlu mengulas lagi. Ucapan Ahmad Zahid dan tampalan Facebook Ibrahim itu sudah cukup jelas untuk membuktikan betapa tidak popularnya Najib, Umno dan BN di kalangan penggiat media sosial serta media atas talian.

Media Tradisional Pun Merudun Juga 

Bukan itu saja, pengaruh media tradisional dan arus perdana yang menjadi tulang belakang propaganda Najib, Umno dan BN juga semakin jatuh.
Pada tahun 2003 – ketika peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi – pengedaran akhbar mencapai kemuncaknya. Utusan Malaysia melebihi 300,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia melepasi setengah juta.

Hari ini jualan Utusan, Berita Harian dan semua akhbar dalam kandang (stable) Umno, merudum seperti ditunjukkan oleh rajah di bawah.

 
Pengedaran Surat Khabar Umno merudum

Dengan jumlah pengedaran yang terhad itu, adalah sukar bagi Umno menyebarkan diayahnya ke kawasan pedalaman.

Apatah lagi kenaikan kos sara hidup menyebabkan banyak isi rumah tidak lagi membeli surat khabar.

Malah Umno mungkin mendapati sukar untuk terus memberi subsidi kepada Kumpulan Utusan Melayu yang rugi teruk.

Manakala Media Prima Berhad pun mula mencatatkan keuntungan yang lebih kecil. Bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu keuntungan bersihnya jatuh 36.47 peratus tahun ke tahun kepada RM27.92 juta sahaja.

Tahap kepercayaan kepada kedua-dua kumpulan media itu juga semakin merosot apabila bertubi-tubi kalah kes fitnah yang dibawa oleh pemimpin parti pembangkang.