LAPORAN: PENJUAL UNILODGE TERKEJUT MARA BAYAR DUA KALI GANDA

Pemilik asal bangunan hartanah di Melbourne, UniLodge dilaporkan terkejut apabila Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) membayar A$ 41.8 juta (kira-kira RM138 juta*) untuk membeli bangunan itu, yang beliau anggar dua kali ganda daripada nilai sebenar.

Menurut Sydney Morning Herald hari ini, ahli perniagaan Australia Lionel Harber berkata pada 2012, nilai bangunan UniLodge di tengah Melbourne itu adalah $23.5 juta.

Farber menganggap harga jualan beliau adalah setara nilai pasaran dan pandangan itu disokong oleh penilaian bebas, lapor akhbar harian Australia itu.

Harber dilapor terkejut kerana dalam masa beberapa minggu bangunan di Swanston Street itu dijual kepada ejen yang dihubungkan dengan sebuah syarikat luar pesisir, ia kemudian dijual semula kepada Mara Inc dengan harga A$ 41.8 juta.

“Itu melucukan,” kata Harber kepada Fairfax Media dalam artikel bertajuk ‘The Australian building that made almost $20m for corrupt Malaysians’ (Bangunan Australia untung hampir RM20 juta dari rakyat Malaysia yang korup).

Semasa Harber membuat penilaiannya, Raine and Horne’s International Kuala Lumpur menilai hartanah itu pada harga A$ 43 juta (kira-kira RM133 juta).

Ketika dihubungi pada November lalu, Pengarah Eksekutif Raine & Horne International Zaki + Partners, Rosli Atan mempertahankan penilaian berkenaan dan memberitahu Malaysiakini beliau “yakin” tinjauan itu dijalankan mengikut kaedah yang betul.

Beliau diminta memberi respons terhadap laporan eksklusif Malaysiakini mengenai kerugian RM60 juta ditanggung Mara untuk membeli bangunan UniLodge.

Laporan Sydney Morning Herald menegaskan kerajaan Australia gagal memeriksa aktiviti pengubahan wang haram melibatkan pasaran hartanahnya.

Fairfax Media kini mengesan sekurang-kurangnya A$ 8 juta dalam rasuah dan sogokan dari transaksi harta tanah Melbourne ke akaun bank yang dikawal oleh pegawai Malaysia yang korup atau saudara-mara atau sahabat mereka, tetapi angka itu mungkin lebih tinggi.

“Rasuah ini membuktikan eksploitasi tidak terkawal di pasaran hartanah Australia, yang Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) baru-baru ini menyatakan kegagalan kerajaan persekutuan untuk bertindak tegas terhadap pengubahan wang haram dan rasuah menerusi ejen dan fasilitator jualan hartanah.

Laporan itu berkata keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai kegagalan Australia membekukan akaun syarikat yang merasuah ahli politik dan pegawai asing atau terlibat dalam salah laku lain.

– M’kini

.