LAPORAN: PEMAJU FOREST CITY TUTUP PUSAT JUALAN DI CHINA

Pemaju projek Forest City di Johor dilaporkan menutup semua pusat jualannya di China di tengah-tengah tindakan Beijing menyekat aliran keluar modal.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa jurucakap Country Garden Holdings berkata ia telah menutup semua pejabatnya untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian.

Jurucakap itu menafikan ia mempunyai sebarang kaitan dengan tindakan Beijing mengetatkan aliran keluar modal.

SCMP bagaimanapun berkata tinjauan ke bilik pameran utama Country Garden di Shanghai – yang juga turut ditutup – tidak menunjukkan sebarang kerja-kerja pengubahsuaian.

Kerajaan China pada bulan Januari telah melarang rakyatnya daripada menukar yuan kepada mata wang lain untuk membeli harta di luar negara.

Projek Forest City telah menjadi tumpuan utama sasaran pihak pembangkang.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad, telah berterusan menuduh Putrajaya menjejaskan kedaulatan negara melalui projek Forest City.

Beberapa pegawai kerajaan dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang mempunyai kepentingan dalam projek itu, telah menafikan dakwaan Mahathir itu.

Bergantung kepada laporan Bloomberg bahawa 700,000 unit kediaman akan dibina di atas tanah tebus guna 1,400 hektar, Mahathir berkata rumah-rumah itu kebanyakannya disasarkan kepada pembeli dari China dan sekiranya mereka tinggal di sini, ia secara ketara akan mengubah demografi Johor.

SCMP dalam laporannya itu, memetik bekas ejen jualan Country Garden Malaysia, Alan Ho sebagai berkata kira-kira 90 peratus pembeli Forest City adalah dari China.
Laporan itu juga memetik pengurus besar pusat kewangan Country Garden, Wu Bijun sebagai berkata projek-projeknya di Malaysia terjejas oleh sekatan Beijing ke atas aliran keluar modal.

– M’kini

.