PAS SIFATKAN CADANGAN ‘NIKAH LEPAS ROGOL’ TAK MUNASABAH

Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, meskipun agama Islam tidak melarang perogol mengahwini mangsanya, namun ibu bapa yang munasabah tidak akan membenarkan anaknya berkahwin dengan perogol itu.

“Kita tak boleh melarang benda ini, katakanlah ibu bapa kepada mangsa itu setuju untuk anak dia dikahwini oleh perogol, tapi satu perkara kalau berlaku pada anak saya sendiri, saya tak benarkan. Kita kena ukur begitu.

“Takkanlah orang itu telah rosakkan anak kita, kita nak kahwinkan dengan apa juga alasan itu tak boleh diterima.

“Seorang yang munasabah tak boleh menerima, melainkan dia diperdayakan atau apa-apalah unsur-unsur lain. Saya rasa kesukarelaan dalam keadaan yang munasabah tak mungkin wujud,” kata beliau yang juga setiausaha agung PAS.

Takiyuddin berkata demikian kepada pemberita di Parlimen ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Datuk Shabudin Yahya (BN-Tasek Gelugor) yang berkata perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial.

Shabudin dalam persidangan Dewan Rakyat semalam turut berkata walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol daripada berkahwin dengan individu merogolnya.

“Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

“Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku,” katanya.
Shabudin berkata demikian mengulas cadangan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) untuk meminda Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi topik perbincangan memandangkan rogol itu sendiri merupakan satu jenayah.

“Bagi saya bukan satu perkara yang digalakkan. Rogol itu sendiri perlu diambil tindakan yang serius supaya boleh dibendung. Sebab itulah, kita sendiri amat setuju dengan akta seksual,” katanya.

– M’kini