LIVE – SALAM BERSIH, SELAMAT MALAYSIA: NEGARAKU PENUTUP BERSIH5

  • 5.30pm: KLCC- Perhimpunan hari ini sepatutnya berakhir pada jam 6 petang tetapi ia diisytiharkan tamat lebih awal apabila keadaan mula hujan.

    Timbalan Pengerusi BERSIH Shahrul Aman Mohd Saari berkata ia dibuat kerana pengerusi pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu, Maria Chin Abdullah, tidak dapat menyampaikan ucapan penutup.

    Bagaimanapun perhimpunan itu tidak benar-benar berakhir sehinggalah mereka menyanyikan lagu Negaraku.

    Sebiji telur kongsi satu rumah

    5.30pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman – Peserta himpunan BERSIH5 mula beransur-ansur bergerak pulang.

    Di persimpangan Kampung Baru menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman juga sudah dibuka untuk kenderaan melaluinya.

    Dalam temubual Malaysiakini bersama seorang peserta himpunan yang datang dari Baling, Kedah, beliau berkata sangat kecewa dengan apa yang berlaku kepada negara kini.

    Pesara berusia 68 tahun dan enggan namanya dilaporkan itu berkata kehidupan seharian orang ramai kini terbeban.

    “Kami orang kampung hidup susah. Kami datang sini menaiki bas untuk kami menyatakan kesengsaraan kami.

    “Cukuplah himpunan BERSIH5 ini, kami mahu kerajaan pula mainkan peranan mereka.

    “Fahami kesusahan rakyat. Kami telur sebiji kongsi satu rumah,” katanya dengan nada sebak.

    Hujan petang depan KLCC

    5.25pm: Jalan Ampang – Hujan mula turun. Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kelihatan memakai baju hujan manakala orang ramai yang masih berada di kawasan ini berlindung di bawah payung.

    Ambil masa bergambar

    5.15pm: Masjid Jamek – Suasana yang kembali tenang digunakan peserta BERSIH5 untuk bergambar dengan kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di Jalan Tun Perak.

    Pada salah satu kenderaan itu seorang anggota FRU dilihat bersikap ‘mesra’ kerana memberi kerjasama untuk orang ramai mengambil gambar.

    Pada kebanyakan masa anggota terbabit menunjukkan isyarat “peace” ketika orang ramai merakam gambar.

    “Abang! Pos sikit!” kata seorang lelaki ketika dia menghalakan kamera pada telefonnya ke situ.

    Cuba ‘keluarkan’ Maria Chin

    5.15pm: KLCC- Bekas pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan berikrar akan “memfailkan sesuatu” bagi mencabar penahanan Maria Chin Abdullah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

    “Kami akan memfailkan permohonan habeas corpus untuk membebaskan Maria. Kita tak boleh diterima beliau ditahan mengikut Sosma.

    “Kita akan lakukan apa saja yang dibenarkan undang-undang bagi memastikan Maria dibebaskan segera,” katanya.

    Menyatakan bahawa peserta BERSIH5 adalah “harapan negara” Ambiga berkata mereka jugalah yang akan membawa perubahan kepada Malaysia.

    Beliau menamatkan ucapan dengan meminta orang ramai melaungkan BERSIH5 sekuat hati supaya dapat ‘didengar’ Maria dan ahli jawatankuasa pemandu pertubuhan itu, Mandeep Singh yang kini ditahan polis.

    Stesen bas jadi pentas

    5pm: Jalan Ampang – Menyedari ada peserta tidak dapat mendengar ucapan yang disampaikan di kawasan agak jauh daripada mereka, beberapa pemimpin pembangkang membuka ‘pentas’ baru berhampiran sebuah stesen perhentian bas.

    Setiausaha Agung PRK Rafizi Ramli misalnya membangkitkan beberapa isu dalam ucapannya, termasuk kadar hutang ditanggung kerajaan.

    Katanya isu berkenaan dibangkitkan atas pertimbangan ia melibatkan kepentingan rakyat.

    Rafizi juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “tidak dapat tidur lena” malam ini kerana menyedari ramai orang mahu beliau berundur.

    Jumlah peserta meningkat 40,000

    4.55pm:  KLCC –  Kehadiran orang ramai di sekitar KLCC kini dianggarkan seramai 40,000 orang.

    Lautan ‘kuning’ memenuhi sekitar Jalan Ampang dari pejabat Lembaga Getah Malaysia hingga ke Pusat Pelancongan Malaysia sejauh kira-kira 600 meter.

    Bagaimanapun segelintir peserta BERSIH5 dilihat mula beransur-ansur pulang kerana keadaan langit yang mula gelap serta sesekali guruh kedengaran.

    Perhimpunan dijangka tamat pada jam 6 petang ini.

    Kita bukan Jamal, kata Dr M

    4.45pm: Jalan Ampang – Dalam ucapannya Dr Mahathir berkata peserta BERSIH5 berkumpul dengan aman – berbeza daripada ketua kumpulan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos.

    “Kita bukan Jamal (yang) apabila kena tumbuk dihidung, menangis….” katanya.

    Bekas perdana menteri itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua peserta kerana tetap turun ke jalan raya walaupun dalam keadaan politik semakin memburuk.

    “Kita bukan lagi hidup di bawah sistem demokrasi, tetapi negara klepotokrasi yang diperintah pencuri,” katanya.

    Sementara itu Muhyiddin berkata tiba masanya untuk penguasaan BN dan Umno ditamatkan demi rakyat.

    Beliau juga menggesa orang ramai melakukan perubahan pada pilihan raya umum akan datang.

    “Masa depan kita adalah untuk semua. Ia bukan (hanya) untuk saya. Saya dah tua tetapi anda semua yang masih muda,” katanya.

    Dr Mahathir disambut meriah

    4.30pm: Jalan Ampang – Tun Dr Mahathir Mohamad tiba bersama beberapa pimpinan pembangkang.

    Kelihatan bersama bekas perdana menteri itu ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden yang juga anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub.

    Turut berada bersama di atas kenderaan pacuan empat roda itu ialah Ketua Setiausaha Sekretarian Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok (PAS) Syed Azman Syed Ahmad.

    Ketibaan mereka disambut dengan tepukan gemuruh orang ramai.

    LRT sibuk luar biasa

    4.30pm: Stesen LRT KLCC – Kesibukan luar biasa di sini hari ini dengan kehadiran peserta BERSIH5 yang tiba atau beransur pulang.

    Tren yang menuju atau tiba dari stesen Masjid Jamek dipenuhi penumpang BERSIH selain sejumlah kecil penumpang biasa.

    Petugas RapidKL didengar menjerit memberi arahan kepada pengguna untuk mengurangkan kesesakan.

    “Keluar ke kiri, keluar ke kiri!” katanya.

    “Pergi ke pintu sebelah! Jangan masuk kalau dah penuh!” kata kakitangan lain yang cuba menguruskan penumpang memasuki tren.

    Demo dalam jerebu di  China

    4.31pm: Himpunan BERSIH5 di  Shanghai, China turut berlangsung dengan kira-kira 100 rakyat Malaysia menyertainya dalam keadaan cuaca berjerebu.

    Selain Shanghai, BERSIH5 juga dijadual berjalan di 64 lagi bandar di seluruh dunia.

    Zuraida ungkit ‘insiden hidung’ Jamal

    4.20pm: KLCC – Anggota parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berucap kepada orang ramai dengan membangkitkan insiden hidung berdarah melibatkan pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Yunos minggu lalu.

    Zuraida berkata, seluruh rakyat Malaysia gembira dengan perkara itu.

    “Siapa tumbuk Jamal?” Soalnya sambil dijawab “polis” oleh orang ramai.

    Mereka selepas itu senyap bagi menghormati laungan azan yang sedang berkumandang.

    30,000 di KLCC

    4.20pm: Kuala Lumpur –  Penyokong BERSIH membanjiri KLCC sehingga melimpah sehingga Jalan Ampang.

    Kumpulan dari Masjid Jamek juga tiba di KLCC menggunakan LRT. Ramai lagi yang menunggu giliran untuk ke Menara Berkembar Petronas.

    Peserta di sini mencecah angka 30,000 orang.

    Di Jalan Tun Perak, kira-kira 1,000 penyokong BERSIH masih berada di situ, kebanyakannya aktivis mahasiswa.

    Mat Sabu kutuk penahanan Maria 

    4pm: KLCC – Parti Amanah Negara (Amanah) president Mohamad Sabu mengutuk penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

    Katanya, Maria tidak pernah menyebut berkaitan menggulingkan kerajaan.

    “Dia hanya sebut tukar kerajaan melalui pilihan raya. Tiba-tiba di ditahan Sosma,” katanya.

    Kebanyakan Baju Merah sudah beredar

    4.07pm: Jalan Raja Laut – Hanya tinggal kira-kira 20 orang sahaja peserta Baju Merah yang tinggal apabila kebanyakan daripada mereka telah bersurai.

    Ketika bersurai, ada antara mereka singgah ke kedai makan dan juga terdapat segelintir yang masih lagi ‘melepak’ di tepi jalan di Jalan Raja Laut.

    Sebahagian besar daripada peserta di sini berjalan menuju ke PWTC.

    Dipercayai bas yang membawa mereka ke ibu negara berada di sana.

    Kain rentang panjang anti-Najib

    4pm: Masjid Jamek – Gabungan Mahasiswa kelihatan mula membuka kain rentang anti-Najib sepanjang lapan meter.

    Kain rentang itu dipegang kira-kira 15 orang.

    Sementara itu, dalam ucapan aktivis mahasiswa Asheeq Ali mengutuk penangkapan Anis Syafiqah Mohd Yusuf Malam tadi.

    Katanya Anis ditahan atas alasan merusuh bagaimanapun perkara itu tidak berlaku hari ini.

    “Berjaga-jagalah PRU selepas ini kerajaan tidak dapat lagi tindas kami,” katanya sambil melaungkan “student power”.

    Sebelum berakhirnya acara, pihak mahasiswa sempat menyanyikan lagu “Terima Kasih Abang Polis” sambil memandang kepada anggota keselamatan yang sedang mengawal.

    Cuaca kelihatan agak mendung namun belum ada tanda-tanda untuk peserta ini bersurai.

    Pelajar: Kami tak akan menyerah kalah!

    3.45pm: Masjid Jamek – Aktivis pelajar, yang sedang digantung pengajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berucap kepada orang ramai di sepanjang Jalan Tun Perak.

    Katanya, kumpulan belajar telah berhimpun dengan jayanya di Bangsar, Jalan Petaling Pasar Seni.

    Beliau juga berkata penahanan pemimpin pelajar Anis Syafiqah Md Yusof dan Luqman Nul Hakim tidak akan melemahkan semangat mereka.

    “Kami tangkap Anis, kamu fikir kami akan menyerah?

    “Tidak sekali-kali!” kata pelajar tahun ketiga jurusan undang-undang itu.

    Ada singgah kedai nombor ekor

    3.40pm: Jalan Tun Perak – Sebahagian peserta himpunan BERSIH5 yang berada di Jalan Travers kini tiba di Jalan Tun Perak bagi menuju ke KLCC.

    Dianggarkan kira-kira 300 peserta himpunan BERSIH5 berada di sini.

    Peserta juga turut menyanyikan “Hidup Bersih” sambil berjalan menuju KLCC.

    Bagi menuju ke KLCC peserta BERSIH5 perlu melalui Jalan Rakyat, Brickfields dengan menggunakan Jalan Pudu untuk ke Jalan Tun Tan Siew Sin.

    Dalam perjalanan menuju KLCC sebahagian peserta himpunan BERSIH5 mengambil kesempatan untuk singgah ke kedai nombor ekor di sepanjang Jalan Tun HS Lee.

    Lebih 20,000 berhimpun di KLCC

    3.30 pm: Kuala Lumpur – Ribuan peserta BERSIH5 sedang berkumpul di hadapan Menara Berkembar Petronas, KLCC di Jalan Ampang.

    Berikutan arahan daripada BERSIH, penyokong mula bergerak beramai-ramai ke bangunan  KLCC dengan LRT.

    Jumlah itu kini dianggarkan lebih 20,000.

    Sementara itu, beberapa kumpulan kecil sekitar 3,000 orang memilih untuk berarak dari Masjid Jamek, yang akan mengambil masa lebih 30 minit untuk ke KLCC.

    2,000 lagi penyokong BERSIH masih melepak di Jalan Tun Perak. Ini menjadikan peserta BERSIH setakat ini adalah lebih 20,000.

    Sebahagian besar peserta Baju Merah sudah bersurai.

    ‘Tenungan maut’ Baju Merah hampir cetuskan pergaduhan

    3.30 pm: Sogo – ‘Tenungan maut’penyokong Baju Merah terhadap peserta BERSIH hampir mencetuskan pergaduhan.

    Polis kemudian campur tangan dan mengarahkan kira-kira 30 penyokong BERSIH di sepanjang  di Jalan Raja Laut supaya beredar bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

    Penyokong BERSIH diminta berundur ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan mematuhinya dengan laungan “BERSIH”.

    Sepanjang jalan menuju stesen LRT Bandaraya, polis mengekalkan kawalan yang ketat.

    Pencetus provokasi ditangkap

    3.20pm: Jalan Raja Laut – Polis menahan seorang penyokong Baju Merah yang cuba membuat provokasi kepada peserta BERSIH.

    Merah laungkan ‘barua’ pada Kuning

    2.55pm: Jalan Raja Laut – kira-kira 300 orang peserta kumpulan Baju Merah berkumpul di Jalan Raja Laut berhampiran Kompleks Pertama dan pusat beli-belah Sogo.

    Peserta tersebut dipercayai berkumpul di sini selepas bergerak dari Padang Merbok.

    Mereka juga membawa sepanduk yang bertulis “Merah sedia bertempur!”

    Kira-kira 30 anggota polis berkawal di sini. Selain itu turut kelihatan juga trak penyembur air FRU di Jalan Dang Wangi, berhampiran Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.

    Selain itu, kumpulan Baju Merah ini juga turut melaungkan “barua” ketika ternampak beberapa orang yang memakai baju kuning bertulis BERSIH 5.

    Isi perut di Jalan Petaling

    2.45pm: Pasar Seni, Jalan Petaling – Banyak peserta BERSIH berkumpul di Petaling Street.

    Kebanyakan mereka mencari makanan di Petaling Street untuk mengisi perut.

    Kelihatan juga sesetengah peserta Melayu yang sedang melawat tempat itu.

    Banyak kedai makanan dan air operasi secara biasa.

    Kira-kira 1,000 orang berbaju kuning di sekitar Jalan Petaling dan Pasar Seni.

    Peserta BERSIH cecah 16,000, Baju Merah mula bersurai

    2.30pm: Kuala Lumpur – Peserta BERSIH akhirnya berkumpul di tempat yang sama setelah berkumpul di beberapa tempat sebelum ini.

    Penyokong BERSIH dari Masjid Negara berarak ke Masjid Jamek dan menyertai kumpulan di Jalan Tun Perak.

    Di Jalan Travers yang disekat polis berpatah patah dan bergerak melalui Brickfields ke Pasar Seni dan kemudian Masjid Jamek.

    Sekurang-kurangnya 15,000 orang berkumpul dekat stesen LRT dan KTM.

    Kira-kira 1,000 lagi penyokong BERSIH berada di sekitar Jalan Sultan.

    Sementara itu, kumpulan Baju Merah yang mencecah angka 4,000 sebelum ini telah beredar dan meninggalkan hanya kira-kira 100 orang di Padang Merbok.

    Polis yang membenarkan mereka ke Pdang Merbok tidak lagi memberi laluan untuk mereka keluar melalui Dataran Merdeka.

    Mereka kemudian menggunakan jalan alternatif ke Jalan Raja Laut, menyertai kira-kira 300 lagi kumpulan mereka di situ.

    Mahathir puji jumlah kehadiran tinggi

    2.20 pm: Dataran Maybank – Tun Dr Mahathir Mohamad memuji orang ramai yang tampil menyertai perhimpunan BERSIH5.

    “Begitu ramai peserta tetapi kerajaan pengecut, suka halang demonstrasi yang adalah hak rakyat,” katanya.

    Ditanya jika perhimpunan itu didominasi kaum Cina, Mahathir berkata tidak ada soalan mengenai kaum.

    “Semua orang mengambil berat tentang kerajaan ada di sini sekarang,” katanya.

    Mengenai jumlah kehadiran yang berkurangan berbanding perhimpunan lalu, beliau berkata: “Kami terus lakukan sesuatu […] kerajaan guna polis untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun secara aman.”

    Mengulas mengenai sekatan polis, Mahathir mengakui mereka hanya melakukan tugas mereka.

    “Tetapi kita lakukan ini secara aman. Tidak boleh ada sekatan. Inilah yang kita katakan melemahkan demokrasi, bukan BERSIH yang melemahkan demokrasi,” katanya.

    Berbaju rasmi BERSIH 5 dan bertopi putih, beliau diiringi oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Umno Datuk Seri Mukhriz, yang juga anaknya.

    Mahathir sebelum ini dirakam turut daripada pesawat setelah dikatakan pulang daripada menghadiri acara lain di Sudan.

    Kehadirannya pasti mengejutkan sesetengah pihak setelah beliau membayangkan tidak hadir acara hari ini, dalam temu bual bersama radio atas talian Radio Bangsar Utama.

    Mahathir menyeru orang ramai menyertai himpunan itu bagi memberi tekanan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan dakwaan skandal 1MDB dan kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.

    Ketika lautan manusia membanjiri ibu kota hari ini, Najib sedang menghadiri acara rasmi di Peru bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

    Lebih ramai individu BERSIH, Baju Merah akan ditangkap – TPM

    2.45pm: Bagan Datoh (Perak) – Lebih ramai individu berkaitan himpunan BERSIH5 dan gerakan Baju Merah akan ditangkap dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan pihaknya sudah mempunyai senarai nama individu terbabit tetapi tidak akan mendedahkannya.

    Jamal kena tahanan reman empat hari

    2.17am: Ampang – Di Mahkamah Majistret Ampang, pemimpin Baju Merah, Datuk Seri  Jamal Md Yunos telah dikenahkan perintah tahanan reman selama empat hari.

    Dia kini direman bersama-sama dengan dua penyokongnya yang juga ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung pergelutan di sebuah pusat membeli-belah di Ampang, minggu lalu.

    Mereka dilaporkan sedang dibawa ke pusat tahanan Shah Alam dan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 186 dan Seksyen 353 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

     

    Baju Merah mula tinggalkan Padang Merbok

    2.15 pm: Padang Merbok – Kumpulan Baju Merah semakin berkurangan apabila pesertanya beransur-ansur meninggalkan kawasan padang itu.

    Walaupun pada awalnya berlaku sedikit ketegangan berikutan tindakan lima penyokongnya yang ingin keluar melalui jalan yang dihalang polis namun semuanya kembali terkawal.

    Peserta Baju Merah kini berjalan dari Padang Merbok melalui Jalan Tun Ismail dan Jalan Sultan Sulaiman menuju ke stesen Komuter Bank Negara dipercayai untuk pulang.

    Kit Siang dan Guan Eng menuju ke Dataran

    2:00 pm: KL Sentral – Ratusan peserta perhimpunan BERSIH dilihat menggunakan pengangkutan awam ke tempat pengumpulan di Brickfields.

    Mereka dilihat sedang mencari kedai untuk makan tengah hari dan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Dataran Merdeka.

    Sementara itu, pemimpin-pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng juga dikesan berjalan dari Jalan Tun Sambathan ke arah dataran ikonik yang bersejarah itu.

    Maria ditahan mengikut Sosma

    2.10 pm: Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, menurut satu mesej dari NGO Lawyers for Liberty.

    Sembilan lain yang ditahan semalam pula dikenakan tahanan reman dua hari pada perbicaraan pagi ini.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

    Sementara itu, menurut Twitter rasmi BERSIH, ADUN Pasir Pinji Howard Lee ditangkap dan kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

    Rehat sebentar di KL Sentral

    2pm: KL Sentral – Ratusan peserta BERSIH berlegar-legar di hab pengangkutan ini dan kedai-kedai di dalamnya.

    Mereka mengambil kesempatan berhenti makan tengah hari dan berehat sebentar sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

    Pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng bagaimanapun berjalan dari  Jalan Tun Sambathan ke Dataran Merdeka.

    Azan dilaungkan di Jalan Travers

    1.30pm: Jalan Travers, Bangsar –  Sebahagin peserta Muslim yang menyertai perhimpunan BERSIH mengambil kesempatan untuk mengerjakan solat zohor.

    Terdahulu seorang sukarelawan perhimpunan itu, melaungkan azan dan meminta peserta bukan Muslim memberi laluan untuk mereka bersolat.

    Beralaskan kertas surat khabar, kira-kira 50 peserta Islam lelaki dan wanita menunaikan ibadat fardu ain itu.

    5,000 di Jalan Tun Perak, tiada pemimpin

    1.05pm: Jalan Tun Perak – Walaupun hampir 5,000 berkumpul di sini tetapi tiada sebarang ucapan daripada pemimpin BERSIH diberikan. Bagi mengelakkan rasa bosan, ada yang melaungkan “BERSIH”, membunyikan vuvuzela dan berborak.

    Ramai juga yang mengambil gambar dan berselfie dengan FRU.

    Bekas pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga Screenavasan, yang berada di Masjid Negara, dipercayai akan bergerak ke situ melalui LRT untuk memimpin pesertanya.

    Benteng manusia di Jalan Travers

    1pm: Jalan Travers – Walaupun Ambiga mengumumkan supaya peserta tidak bergerak, terdapat pihak yang mahu terus maju ke depan.

    Aktivis Adam Adli mengingatkan bahawa beza antara mereka dan Baju Merah adalah mereka tidak ganas.

    Pasukan keselamatan BERSIH yang berbaju ungu membuat benteng manusia bagi mengelakkan rempuhan terhadap sekatan polis.

    Mahathir pulang, dijangka hadir BERSIH 2pm

    2.50pm:  Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tiba ke tanah air dari Sudan untuk menghadiri himpunan BERSIH5.

    Penulis blog Firdaus Abdullah berkongsi gambar Mahathir turun dari pesawat dengan mamakai kemeja T BERSIH5.

    Bagaimanapun tidak jelas beliau mendarat di lapangan terbang mana.

    Mahathir dijangka menyertai BERSIH5 bersama pemimpin  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada jam 2 petang ini.

    Tersekat dekat Jalan Travers

    1.00pm: LT Bangsar – Sebahagian peserta BERSIH yang berkumpul dekat Jalan Travers dan gagal mara ke Dataran Merdeka mengambil kesempatan mengunjungi kedai berhampiran untuk mendapatkan makanan dan minuman.

    Tak guna berunding, kata peserta

    12:50pm: Jalan Travers –  Salah seorang peserta BERSIH5 dilihat semakin tidak sabar apabila rundingan mereka ditolak mentah-mentah oleh pihak polis.

    Oleh demikian beliau dilihat cuba mengarahkan peserta himpunan yang lain untuk berundur ke persimpangan Jalan Travers dan Jalan Rakyat bagi menuju ke Dataran Merdeka.

    “Keputusan di tangan kamu, kamu berhak tentukan. Tak guna berunding, buang masa.

    “Berfikir secara bijak, ambil jalan pintas menuju ke Dataran Merdeka. Sekarang dah nak masuk Zohor, mereka ini pun bertugas sahaja dan mengikut arahan. Mereka (polis) pun ada keluarga, nak makan, nak solat.

    “Jadi, kita ambil jalan belakang (Jalan Rakyat) .Tolonglah, 1 kilometer saja lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

    Tak benar ambil gambar, takut ayah marah

    12.51pm: Jalan Kinabalu: Kira-kira 200 peserta Baju Merah tiba di Jalan Kinabalu. Mereka bagaimanapun gagal masuk ke Jalan Padang Merbok kerana dihalang anggota polis.

    Sementara itu, seorang peserta baju Merah yang hanya mahu dikenali sebagai Asyraf dari Slim River berkata beliau dibekalkan wang sebanyak RM50.

    Pelajar 17 tahun itu itu berkata perhimpunan hari ini tidak mengganggu pelajarannya meskipun sedang menghadapi SPM dan akan mengambil kertas mata subjek Sains pada 22 haribulan ini.

    Asyraf yang juga pelajar Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru tidak membenarkan gambarnya diambil kerana khuatir dimarahi oleh ayahnya.

    Beliau ketika ditanya sebab turun menentang BERSIH berkata:

    “Dapat duit, dapat makan pagi dan tengah hari. Saya cuma nak datang tengok. Ada yang kata Cina nak gaduh dengan Melayu,” katanya.

    Peserta BERSIH terpaksa ambil laluan lebih panjang

    12.35 pm: Masjid Negara – Kumpulan kira-kira 3,000 peserta BERSIH mula bergerak ke arah Masjid Jamek.

    Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH, Jay Jay Denis berkata polis tidak membenarkan mereka berarak ke arah Jalan Raja Laut.

    “Jalan disekat jadi kita akan mengambil laluan lebih panjang melalui Masjid Jamek,” katanya kepada Malaysiakini.

    Kumpulan itu juga melaungkan “BERSIH” dmengikut rentak lagu Louis Armstrong ‘When The Saints Go Marching In’, bersama-sama dengan laungan “Reformasi”, “Bebas Maria” dan “Bebas Rakyat”.

    Polis berkeras peserta BERSIH kekal di Jalan Travers

    12.30 pm: Jalan Travers – Polis tetap berkeras tidak membenarkan peserta BERSIH untuk melepasi sekatan polis di Jalan Travers, untuk menuju ke Dataran Merdeka.

    “Mereka hanya boleh berkumpul di sini (di Jalan Travers), mereka tidak akan dibenarkan untuk melepasi garisan polis,” kata salah seorang pegawai ketika rundingan dengan Ambiga Sreenevasan.

    Peserta Baju Merah tiba di Padang Merbok

    12.27 pm: Padang Merbok- Sebahagian daripada kumpulan yang menyertai Perhimpunan Baju Merah tiba di Padang Merbok manakala sebahagian peserta perhimpunan berkenaan berada di tepi jalan di Jalan Parlimen.

    Ketika ini keadaan terkawal dengan ratusan anggota polis bertugas mengawal  di sepanjang jalan dari Jalan Raja Laut sehingga Padang Merbok.

    Armand ketika ditemui pemberita berkata, kejayaan gerakan Baju Merah tiba di Padang Merbok membuktikan bahawa gerakan tersebut cintakan keamanan.

    Ketika ditanya apakah perangan seterusnya selepas tiba di Padang Merbok, Armand hanya berkata kehadiran mereka adalah untuk “rileks-rileks” di padang berkenaan.

    “Kita nak tunjukkan yang kita gerakan cintakan keamaman bukan seperti baju kuning.

    “Hari ini hadir membuktikan bahawa gerakan Merah ganas, radikal adalah salah sekali. Kita juga mendengar arahan pihak polis dari pagi tadi,” katanya.

    ‘Kami tak mahu diperintah oleh proksi Yahudi’

    12.25pm: Jalan Kuching – Norazimah, 60, dan tiga rakannya menonjol di kalangan penyokong gerakan Baju Merah yang terdiri kebanyakannya golongan belia.

    “Kami hanya orang Melayu bersatu … Negara kita mesti  diperintah oleh orang Islam, bukan proksi Yahudi,” katanya.

    Beliau menambah walaupun Baju Merahnampak “ganas”, mereka bagaimanapun adalah orang baik.

    “Lihat wartawan  Cina, adakah mereka diserang? Tidak, bukan?” soalnya.

    Polis tak benar penyokong BERSIH ke Dataran Merdeka

    12.25pm:  Jalan Travers: Pihak polis mengambil ketetapan untuk tidak membenarkan peserta himpunan BERSIH5 melepasi sekatan polis bagi menuju Dataran Merdeka.

    “Mereka akan berhimpun di sana saja (Jalan Travers), mereka tak akan dibenarkan melepasi sekatan polis. Semua boleh bergerak ke sana,” kata salah seorang pegawai polis yang cuba berunding dengan Ambiga.

    Ambiga berunding dengan pihak polis

    12.20pm:  Jalan Travers: Ambiga teruskan perbincangam dengan pihak polis bagi membenarkan mereka meneruskan himpunan mereka ke Dataran Merdeka.

    Lebih 200 polis dikerahkan menjaga Jalan Travers kini sedang bersiap sedia menanti peserta BERSIH5.

    Polis benarkan Baju Merah berarak ke Padang Merbok

    12.05pm: Jalan Raja Laut – Selepas rundingan, polis membenarkan Baju Merah berarak ke Jalan Kuching, dan kemudian ke Padang Merbok melalui Jalan Kinabalu.

    12.00pm: Jalan Raja Laut – Kira-kira 4,000 penyokong Baju Merah berkumpul di hadapan Kompleks Pertama menunggu pemimpin mereka, Armand Azha dan Musa Sheikh Fadzir berunding dengan pihak polis untuk membolehkan mereka berarak ke Jalan Kuching ke arah Padang Merbok.

    Sebelum membenarkan mereka untuk bergerak, polis meminta mereka tidak membawa sebarang alat tajam seperti kayu dan buluh yang mereka gunakan sebagai kayu bendera ke Padang Merbok, atas sebab-sebab keselamatan.

    FRU arahkan peserta kosongkan Jalan TAR

    11.55am: Jalan Tunku Abdul Rahman – anggota FRU mula menyekat Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut menuju ke pusat membeli-belah Sogo.

    Pengumuman dibuat melalui pembesar suara meminta semua mengosongkan kedua-dua belah jalan raya di hadapan pusat membeli-belah itu.

    “Sila kosongkan sebelah kiri dan kanan jalan raya. Sila beri kerjasama anda,” kata seorang anggota FRU sambil membunyikan loceng.

    Polis juga mengarahkan peserta Baju Merah untuk membuang kayu dan buluh yang digunakan sebagai tiang bendera.

    Baju Merah lontar botol air ke arah peserta BERSIH

    11.50am: Jalan Mara – Suasana menjadi hangat apabila Baju Merah yang berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Jalan Raja Laut.Ketika perarakan itu, Baju Merah mereka mengesan lima penyokong BERSIH di sebuah kedai makan sekitar kawasan itu dan mula untuk mengasak mereka.

    Anggota keselamatan BERSIH bagaimanapun cepat campur tangan dan meminta kumpulan berkenaan supaya  tidak menimbulkan kekacauan.

    “Kami bangsa bermaruah,” kata seorang anggota keselamatan itu dan meminta kumpulan Baju Merah terus beredar.

    Bagaimanapun permintaan itu tidak dihiraukan dan beberapa penyokong membaling botol air kepada penyokong BERSIH.

    Ketegangan itu bagaimanapun tidak berlarutan apabila kumpulan berkenaan meninggalkan Jalan Mara ke Jalan Raja Laut.

    Dipaksa buang kuning pakai merah

    11.45am: Medan Tuanku – Seorang penyokong BERSIH5 yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Pak Su Mat, mendakwa dia dikasari oleh penyokong Baju Merah, yang memaksanya menanggalkan T-shirt kuning yang dipakainya dengan baju merah.

    Katanya, dia hampir ditumbuk oleh kumpulan berkenaan yang beredar selepas dia menyalin bajunya kepada merah.

    “Mereka hanya berani apabila berada dalam kumpulan besar,” katanya.

    4,000 baju Merah berkumpul depan Kompleks Pertama

    11.50am: Jalan Raja Laut- ketika ini kira-kita 4,000 peserta Baju Merah berkumpul di hadapan Kompleks Pertama.

    Seorang pemimpin gerakan ini, Datuk Armand Azha dan Datuk Musa Sheikh Fadzir berunding dengan pihak polis bagi membenarkan gerakan tersebut melalui Jalan Kuching untuk menuju ke Padang Merbok.

    Sebelum membenarkan gerakan Baju Merah melalui Jalan Kuching, pihak polis meminta supaya peralatan tajam serta batang kayu yang membawa bendera dan buluh tidak di bawa ke Padang Merbok atas sebab keselamatan.

    Pada jam 12.04 tengahari mereka kemudiannya diberi kebenaran untuk melalui Jalan Kuching dan seterusnya ke Jalan Kinabalu untuk menuju ke Padang Merbok.

    Polis tutup Jalan TAR, Jalan Raja Laut melalui Sogo

    11.45am: Jalan Tar: Anggota FRU mula menutup jalan dari arah Jalan TAR dan Jalan Raja Laut melalui Sogo.

    FRU turut membuat pengumuman supaya orang awam mengosongkan kiri dan kanan jalan di hadapan Sogo.

    “Sila kosongkan kiri dan kanan jalan, Sila beri kerjasama sekarang.”

    Lebih 10 ribu peserta BERSIH, tiga ribu Baju Merah di KL

    11:40am: Kuala Lumpur – Lebih 10,000 penyokong BERSIH berhimpun di beberapa tempat di ibu negara manakala jumlah penyokong Baju Merah pula adalah kira-kira 3,000 orang.

    full

    Walaupun berikrar untuk hadir di mana sahaja peserta BERSIH5 berkumpul, penyokong Baju Merah tidak kelihatan di Dataran Maybank di Bangsar dan Masjid Negara.

    Di Bangsar, kira-kira 3,000 penyokong BERSIH berhimpun di Dataran Maybank.

    2,000 lagi peserta BERSIH berada di Masjid Negara. Kumpulan Baju Merah yang menduduki Masjid Negara semalam juga tidak kelihatan selepas bersurai lewat malam semalam berikutan penahanan pemimpin mereka, Razali Zakaria.

    Menariknya, sebilangan besar penyokong BERSIH sudah berada di Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu, lokasi yang tidak ditetapkan sebagai tempat pengumpulan tetapi adalah tempat perhimpunan biasa untuk himpunan sebelum ini.

    Jumlah peserta BERSIH di Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu masing-masing dianggarkan pada  3,500 dan 2,000.

    Terdapat juga kumpulan kecil peserta BERSIH di beberapa tempat lain, termasuk kira-kira 350 orang di Jalan Tuanku Abdul Rahman

    Sementara itu, kira-kira 2,000 baju merah yang berhimpun di PWTC mula berarak bagi  menyertai kumpulan mereka yang menunggu Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ini menjadikan jumlah mereka hampir 3,000 orang.

    Anggota keselamatan BERSIH, kemudiannya mengarahkan penyokongnya untuk meninggalkan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    Peserta rakam selfie bersama kenderaan FRU

    11.35am: Jalan Tun Perak – Lebih 3,000 penyokong BERSIH berkumpul di Jalan Tun Perak, berhampiran Dataran Merdeka, yang telah dikepung oleh polis.

    Dengan tidak ada tempat untuk ditujui, peserta duduk dan melaung “BERSIH”, “Hidup Rakyat” dan “Dedak”.

    Tujuh kenderaan FRU, termasuk trak meriam air, diletakkan di sepanjang jalan. Kesempatan ini digunakan oleh sesetengah peserta untuk merakam selfie dengan kenderaan polis itu sebagai  latar belakang.

    Lebih banyak tangkapan dijangkakan

    11.20am:  Polis mengesahkan bahawa daripada 14 individu yang ditahan semalam, 10 adalah berkaitan dengan perhimpunan BERSIH5.

    Polis juga dilaporkan masih mencari beberapa individu lain yang berkaitan dengan gerakan reformasi pro-pilihan raya itu.

    Empat yang lain itu adalah, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Ariffin Abu Bakar serta Ahli Parlimen DAP Anthony Loke ditahan berhubung perkara lain.

    ‘Kuning, kuning, Najib pening’

    11:00am: Gereja St John – Annie Ong, yang lebih dikenali sebagai ‘Aunty BERSIH’, berkata beliau hadir hari ini kerana mahu “wangnya yang dicuri” dikembalikan.

    “Lama kita sudah berdiam diri… Kini, kita kembali kuning. ‘Kuning, kuning, Najib pening, ini yang kita mahu,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Wanita berusia 70 tahun itu tidak pernah ketinggalan dalam sebarang perhimpunan BERSIH  juga tidak bimbang tentang kemungkinan polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

    “Hanya lima minit tidak selesa, siapa peduli tentang meriam air,” kata beliau.

    ‘Kita nak bersiar-siar je’

    11.05 am: PWTC – Kira-kira 2,000 kumpulan Baju Merah kini berarak menuju ke arah Dataran Merdeka melalui Jalan Putra.

    Mereka berarak sambil melaungkan kalimah “Lailahaillallah” serta bertakbir.

    Seorang pemimpin gerakan itu, Datuk Armand Azha beliau memberitahu bahawa beliau ingin “bersiar-siar” di Dataran Merdeka hari ini.

    Beliau turut memberi jaminan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

    “Kita hari ini nak bersiar-siar di Dataran Merdeka. Tak ada apa-apa akan berlaku. Kita nak bersiar-siar je,” katanya kepada pemberita.

    Selain Armand, turut kelihatan ialah Rafi Awang Kechik dan pemimpin Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

    Bishop sembahyang, kemudian salin baju kuning

    10:50am: Gereja St John – Sesi doa khas diadakan oleh Keuskupan Agung Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 300 orang.

    Bishop Bernard Paul memohon himpunan BERSIH5 aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan Malaysia terus damai.

    “Setiap perubahan bermula daripada kita, kita perlu memainkan peranan kita, Tuhan akan melakukan kerjanya,” katanya, sebelum menyarung kemeja-T BERSIH dan menyertai perhimpunan tersebut.

    Paul juga tidak bimbang tentang kawalan ketat polis dan berkata polis telah dikerahkan untuk melindungi rakyat Malaysia yang aman.

    ‘Duduk’, ‘Senyap’, Bersurai’ dan ‘undur’.

    10.50am: Jalan Tuanku Abdul Rahman- Sepanduk arahan BERSIH kelihatan di himpunan untuk memberi arahan kepada peserta dengan lebih jelas.

    Mengikut seorang sukarela Pasukan BERSIH, Hanun, antara sepanduk arahan yang disediakan oleh Bersih termasuklah “DUDUK”,  “SENYAP”, “BERSURAI” dan “UNDUR”.

    Katanya ini adalah untuk membolehkan semua peserta boleh nampak dan terima arahan Bersih dengan Jelas.

    Katanya, ini adalah kali pertama Bersih menyediakan sepanduk arahan.

    Baju Merah tersekat di Jalan Raja Laut

    10.50am: Jalan Tuanku Abdul Rahman: Sekumpulan kira-kira 30 peserta Baju Merah berjalan keluar dari arah Masjid India dan menuju le jalan yang memisahkan mereka dengan peserta BERSIH5.

    Bagaimanapun kedua-dua kumpulan itu tidak bertembung.

    Seorang penyokong Baju Merah yang berusia 50-an yang memperkenalkan dirinya sebagai Tuan Mat, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mahu menuju ke Padang Merbok.

    Namun setiba mereka di Jalan Raja Laut, mereka dihalang oleh penghadang polis.

    Kumpulan itu hilang punca buat seketika dan kemudiannya menerima arahan supaya bergerak dan berkumpul di PWTC.

    Peserta baju kuning di Jalan TAR

    10.30am: Jalan Tuanku Abdul Rahman – Kira-kira 300 peserta baju kuning berkumpul di Jalan Tuanku Adbul Rahman dekat Dataran Merdeka.

    Mereka berdiri sambil sekelompok kecil duduk di atas jalan untuk mendengar ucapan pemimpin.

    Ketua Wanita AMANAH Siti Mariah menyeru peserta kuning agar menjaga keamanan himpunan tanpa provokasi.

    Pelbagai gerai kecil yang menjual baju kuning,  makanan dan air minuman juga terdapat di sepanjang jalan.

    Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman berdekatan Dataran Merdeka telah ditutup oleh polis untuk menghalang orang ramai daripada masuk ke situ.

    Aktivis Hishamudin Rais ditahan

    ‎10.30am: Jalan Kamuja Bangsar – Aktivis BERSIH 2.0 Hishamudin Rais ditahan pihak polis ketika sedang minum di restoran berhampiran sejurus menyampaikan ucapan di hadapan peserta BERSIH 5.

    Sebelum dibawa kira-kira enam anggota polis, beliau sempat meninggalkan pesan supaya meneruskan himpunan tersebut.

    “Walaupun saya tidak ada, teruskan. Teruskan, inilah perjuangan.

    “Jangan risau, mereka juga bersama kita hari ini. Teruskan,” katanya yang sempat mengambil garam dan sapu tangan di dalam sebuah beg sebelum dibawa polis.

    Roti percuma untuk peserta perhimpunan

    10.15am: Jalan Petaling – Rasa lapar ketika menghadiri perhimpunan BERSIH5? Jangan bimbang, ada ‘roti BERSIH’ percuma.

    Seramai 10,500 bungkus roti sedang diedarkan di Jalan Petaling kepada orang ramai, sebagai tanda sokongan untuk perhimpunan tersebut.

    Orang yang bertanggungjawab Tan Soon Kit, 23, datang dari Muar, Johor ke Kuala Lumpur hari ini dengan misinya untuk menjamu selera peserta perhimpunan itu.

    Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah kali kedua mereka mengedarkan roti BERSIH percuma sejak perhimpunan yang lalu.

    “Kami dalam industri roti dan kek. Sebelum perhimpunan ini, kempen derma kami telah mengumpul RM4,000, dan kami sedang mengedarkan 10,500 keping roti,” katanya dengan penuh semangat, sambil menambah “roti percuma, GST percuma”.

    Selain itu, sebuah lagi kedai roti telah menaja 1,200 keping kek.

    Sekatan halangan untuk pisahkan penyokong BERSIH dan baju merah

    10.10am: Jalan Kinabalu – Sekatan halangan yang dikendalikan oleh lebih 100 anggota polis diletakkan di jalan masuk dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka.

    Pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi memberitahu Malaysiakini bahawa sekatan adalah untuk memisahkan penyokong BERSIH dan baju merah.

    “Kami hanya mahu segala-galanya berjalan dengan aman dan berakhir secara aman,” kata pegawai itu.

    Pada jam 9.45 pagi, kira-kira 1,000 baju merah kelihatan di sekitar kawasan Jalan Raja Laut.

    Kehadiran Adam Adli semarakkan semangat peserta BERSIH

    10 pagi – Bangsar – Kehadiran aktivis BERSIH Adam Adli menyemarakkan semangat lebih 1,000 peserta BERSIH 5 di sekitar LRT Bangsar.

    Adam tampil memberi ucapan dan mendakwa dirinya terlepas dari serbuan pihak polis di rumahnya, malam tadi.‎

    “Rakyat Malaysia tidak gentar, rakyat Malaysia tidak takut. Rakyat Malaysia seperti dijanjikan 60 hari lepas kita berhimpun di KL.

    “Seluruh dunia mahu melihat sejuah mana rakyat Malaysia mampu berjuang untuk kedaulatan negara.

    “Semalam saya hampir ditahan kira-kira 20 orang polis dari Bukit Aman, tetapi saya berjaya berada di sini,” katanya.

    Turut bersama Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan beberapa pimpinan lain.

    Penyokong baju merah berarak menuju ke PWTC

    9.37am: Sogo – lebih 1,000 penyokong baju merah kini mula berarak menuju ke PWTC. Mereka melalui Jalan Raja Laut Sambil menyanyikan lagu inilah barisan kita dan juga berselawat.

    Sementara itu 20 anggota pasukan  FRU berkawal di sini.

    Tiada baju merah kelihatan di kawasan Masjid Negara

    9.28am: Masjid Negara- Tiada kumpulan Baju Merah kelihatan di kawasan Masjid Negara.

    Bagaimanapun terdapat kira-kira 20 orang pemuda dari Taiping yang memakai baju-T biasa dipercayai datang ke ibu negara bagi menyertai perhimpunan baju Merah.

    Seorang pemuda memberitahu, dia datang ke Masjid Negara dari Taiping menaiki bas dan tiba di ibu negara kira-kira jam 5 pagi tadi.

    Ketika diajukan soalan apakah tujuannya hadir pada perhimpunan hari ini, pemuda tersebut berkata, tiada sebarang arahan diberikan kepadanya dan mereka bebas untuk buat apa sahaja.

    “Saya tak tahu (nak buat apa). Kami memang datang untuk baju Merah.

    “Kami tunggu je ni sebab tak ada apa-apa pun lagi,” katanya.

    “Kita semua adalah Maria, kita semua Mandeep,” kata Ambiga

    ‎9.20am: Bangsar – ‎Peserta BERSIH yang berhimpun di sekitar LRT Bangsar menyambut kehadiran Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S Ambiga.

    Ambiga dalam ucapan ringkasnya berkata, perhimpunan hari ini tetap meriah dengan kehadiran orang ramai walaupun Pengeruis BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah ditangkap.

    “Kita semua adalah Maria, kita semua Mandeep,” laung beliau kepada peserta.

    200 baju merah menuju ke Padang Merbok

    9.15am: Masjid Jamek – Sekumpulan kira-kira 200 baju merah berselisih dengan kira-kira 300 penyokong BERSIH bertentangan dengan Hotel Swiss Hotel berhampiran stesen LRT, ketika mereka menuju ke Padang Merbok.

    Bersorak “Hidup Merah !,” mereka berjalan melewati stesen LRT Bandaraya di sini.

    Pasukan keselamatan BERSIH yang berpakaian ungu kelihatan membentuk benteng manusia untuk menghalang kemaraan mereka.

    Kumpulan baju merah itu kini berjalan ke arah pusat membeli-belah Sogo, dan berhenti di stesen LRT Bandaraya

    ‘Penderma Arab’ membuat kemunculan semula dendangkan Sha La La La

    9.10am: Bangsar – ‘penderma Arab’ membuat penampilan sekali lagi. Memakai pakaian tradisi Arab, lelaki itu membuat kemunculan pertamanya ketika perhimpunan BERSIH 4 perhimpunan tahun lepas.

    Dia kemundiannya mendendangkan ‘Sha La La La’ – lagu Danish Glam Rock Band, The Walkers.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendendangkan lagu itu di majlis makan malam peribadi meraikan Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang melawat Malaysia baru-baru ini.

    “Sha la la la, mari Datang bersama-sama,” kata ‘orang Arab’ itu.

    Lelaki itu, Mok Sek Chool, memberitahu Malaysiakini beliau berada di sini untuk perhimpunan BERSIH kerana “kerajaan tidak mampu untuk menjawab” soalan berkaitan isu derma RM2.6 bilion.

    “Sebab itu saya membuat pakaian ini, untuk membuat orang tahu (mengenai isu itu),” katanya.

    Tiada baju merah kelihatan di Bangsar

    9am: Bangsar – Semasa memantau kawasan itu dari Jalan Bukit Pantai ke Dataran Maybank sejak jam 8 pagi hingga sekarang, Malaysiakini mendapati tiada kelihatan penyokong merah.

    Kebanyakan jalan menuju ke Bangsar telah ditutup sejak jam 7 pagi.

    Sementara itu, pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow melaporkan di Facebook bas-bas yang mereka sewa untuk penyokong dari utara telah menarik diri.

    Menurutnya kesemua lima buah bas yang disewa oleh DAP Pulau Pinang telah dibatalkan pada saat akhir dan mendakwa pengusaha bas tidak berani untuk mengambil risiko permit mereka dibatalkan.

    Namun, katanya, mereka dalam perjalanan dengan menaiki kereta, melalui jalan udara dan kereta api.

    Stesen LRT Bangsar beroperasi seperti biasa

    8.50am: Stesen LRT Bangsar – perkhidmatan LRT di sini berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

    Ini walaupun ketua setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah tweet bahawa stesen itu telah ditutup dan menasihatkan peserta BERSIH turun di stesen berdekatan.

    Tinjauan Malaysiakini bagaimanapun mendapati penumpang masih turun di Stesen LRT Bangsar.

    Seorang kakitangan Prasarana memberitahu Malaysiakini bahawa perkhidmatan di stesen tidak akan dihentikan.

    “Perkhidmatan hanya akan dihentikan jika keadaan tidak terkawal,” katanya.

    Kesukaran hidup dorong sertai perhimpunan

    8.45am: Masjid Negara – Dua lelaki warga emas adalah antara 100 penyokong BERSIH di Masjid negara.

    Berusia 65 tahun, Tajudin Mohamed dan Jamaluddin Harun, 57, kedua-duanya adalah ahli AMANAH dari Johor, yang menurut mereka datang atas kapasiti peribadi.

    Mereka memberitahu Malaysiakini mereka didorong oleh penderitaan rakyat, terutama golongan muda, kerana kos sara hidup yang meningkat.

    Menurut Tajuddin, keadaan begitu sukar, dan sebagai seorang Muslim, kadang-kadang beliau tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika bersolat.

    Jamaluddin berkata mereka tiba di sini pada waktu awal pagi dengan menaiki bas yang dipenuhi penyokong BERSIH dari pelbagai parti.

    Pikachu pun ada

    8.30am: Sogo – Satu pasukan FRU sekitar 50 anggota diberi taklimat di depan Sogo.

    Beberapa trak dan kenderaan meriam air dapat dilihat diletakkan di luar balai polis daerah Dang Wangi.

    Polis telah mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di hadapan Sogo untuk menghalang orang ramai yang memakai baju merah atau kuning daripada memasuki jalan itu.

    Sogo bukan tempat berkumpul peserta BERSIH ataupun baju merah dan setakat ini hanya beberapa orang dengan baju-T kuning BERSIH kellinatan melalui kawasan itu.
    8.20am: Masjid Negara – Seorang lelaki dalam pakaian Pikachu meraih perhatian di sini dengan orang ramai bergambar dengannya.

    Lelaki itu, Abdul Malik Abdul Razak, berkata, dia datang dengan sekumpulan orang lain dari Kluang, Johor dengan bas hari ini.

    Beliau merancang untuk berarak dalam pakaian tersebut.

    8.15am: PWTC – Polis menutup jalan masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur.

    Tidak kelihatan orang ramai berkumpul di PWTC, di mana ibu pejabat Umno terletak. Bagaimanapun, kelihatan seorang sedang menjual baju-T merah ‘di tepi jalan.

    7.50am: Masjid Negara – Gerai makan jadi tumpuan

    Peniaga menjual nasi lemak dan barangan lain menjadi tumpuan penyokong BERSIH dan lain-lainnya.

    Terdapat juga beberapa gerai yang menjual barangan BERSIH.

    Kira-kira dua dozen peserta BERSIH dalam pakaian berwarna kuning sudah berada di sini, di kalangan orang ramai yang terdiri daripada 50 orang berpakaian biasa.

    Terdapat kawalan keselamatan yang ketat di sini, dan kenderaan meriam air FRU dan sebuah trak diletakkan bersebelahan dengan masjid.

    Tiada baju merah kelihatan di situ walaupun semalam mereka berkata akan berkumpul di Masjid Negara.

    7.40am: Jalan Petaling – Penyokong BERSIH mula tiba

    Ramai penyokong BERSIH telah tiba di pusat bandar Kuala Lumpur sebelum perhimpunan bermula, kerana ada yang risau mengenai penutupan jalan utama dan tidak dapat masuk ke pusat bandar kemudian.

    Jalan Petaling, yang menyaksikan perhimpunan baju merah September lalu, kelihatan aman dan tenang.

    Mereka kelihatan sedang bersarapan dan bersiap sedia untuk perhimpunan hari ini.

    FRU sudah bersiap sedia

    7.26am: Masjid Jamek LRT Jln Tun Perak – Pasukan 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berada hadapan stesen LRT Masjid Jamek dan berbincang tugas mereka dalam menangani peserta perhimpunan BERSIH dan baju merah.

    Di sepanjang jalan terletak tujuh trak FRU dengan trak meriam air.

    Polis telah menutup jalan di hujung Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut, menghalang peserta dan wartawan daripada memasuki Dataran Merdeka.

    Lebih 100 anggota polis berdiri di hadapan ketiga-tiga kawasan yang ditutup itu, menghalang orang ramai daripada memasuki Dataran Merdeka.

    Seorang kakitangan LRT yang lalu di situ berkata tiga stesen LRT di sekitar pusat bandar – Stesen Masjid Jamek, stesen Bandaraya dan stesen Plaza Rakyat mungkin ditutup jika keadaan menjadi kecoh.

    “Tetapi sekarang, penumpang masih boleh menaiki LRT di stesen-stesen itu,” katanya.

    7am: Keadaan tenang menjelang perhimpunan pagi ini

    Peserta perhimpunan dijadual berkumpul di Jalan Bangsar dan Masjid Negara. Keadan masih tenang walaupun sekatan jalan raya mula dilakukan.

    Dataran Merdeka di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman ditutup.

    Di Bangsar, jalan dari Jalan Maarof ke Jalan Bangsar telah ditutup di mana Dataran Maybank merupakan salah satu tempat BERSIH akan berkumpul.

    Keadaan kelihatan seperti biasa di Jalan Petaling dengan para peniaga membuka perniagaan mereka.

    Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan setiausaha sekretariat gabungan itu, Mandeep Singh beserta beberapa ahli politik ditahan malam tadi.

    Turut ditahan ialah pemimpin baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos pada pukul 1.30 pagi tadi.

    full

 MKINI

.