LAPORAN CHINA DIHUBUNGI BANTU 1MDB, JOHARI TIADA MAKLUMAT

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani mendakwa beliau tidak tahu menahu bahawa China dihubungi untuk membantu 1MDB menyelesaikan komitmennya kepada syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam kenyataan menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini Johari mencadangkan supaya portal ini menghubungi Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk penjelasan.

“Saya tak tahu apa yang tertulis mengenai perkara itu. Mungkin anda patut tanya dengan Arul Kanda,” katanya.

Johari diminta mengulas laporan Financial Times (FT) yang memetik sumber yang mendakwa China telah dihubungi sebagai sumber dana untuk 1MDB.

Memetik satu sumber FT juga mendakwa Malaysia akan melakukan pertukaran aset dengan firma China itu bagi mendapatkan pembiayaan berkenaan.

Syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu sedang menuntut 1MDB membuat pembayaran bernilai AS$6.5 bilion.

Kata Johari beliau tidak melihat ada sebarang alasan untuk China terlibat dalam pertikaian antara 1MDB dan IPIC.

Ditanya sama ada kerajaan atau kabinet ada membuat sebarang keputusan mengenai pembayaran semula 1MDB atau pertukaran aset bagi bantuan kewangan itu, Johari berkata, tiada sepanjang pengetahuannya.

“Setahu saya tak ada,” katanya.

Semalam Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendesak kerajaan memberi penjelasan mengenai laporan FT berkenaan.

Katanya berita disiarkan FT itu benar-benar merunsingkan kerana ia seolah-olah mengesahkan maklumat yang diperolehinya beberapa bulan lalu mengenai kemungkinan salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di bursa Singapura tahun depan.

“Penyenaraian tersebut bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar sahamnya.

“Soalan saya ialah, GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion mengikut laporan Financial Times hari ini?” tanya Rafizi. http://www.malaysiakini.com/news/365513

Sementara itu Arul Kanda ketika dihubungi berkata, beliau sudah memberi reaksi kepada FT mengenai laporan berkenaan.

Ditanya sama ada beliau menafikan laporan berkenaan, Arul Kanda meminta supaya Malaysiakini merujuk responnya kepada FT.

Dalam berita disiarkan FT semalam, Arul Kanda dilaporkan enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan.

Katanya 1MDB tidak ada apa-apa sebarang komen untuk ditambah kepada kenyataan dikeluarkan berhubung pertikaian agensi pelaburan berkenaan dengan IPIC sebelum ini.

1MDB dan IPIC kini terlibat dalam proses timbang tara di mahkamah London membabitkan pertikaian bernilai lebih AS$6.5 bilion (RM28.72 bilion)

– M’kini

.